Sabah galak industri guna dron dalam operasi harian
15:06 Jun 26, 2023  |  By SabahKini2
Sabah galak industri guna dron dalam operasi harian

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan teknologi dron perlu diadaptasi dengan segera oleh pemain industri, memandangkan teknologi berkenaan mempunyai penggunaan yang meluas.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggalakkan syarikat dan industri berkaitan pertanian, perindustrian serta pelancongan di Sabah untuk mengintegrasikan penggunaan dron dalam operasi harian.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu akan membolehkan mereka untuk berkembang seiring dengan kemodenan teknologi semasa.

Menurutnya, perkembangan teknologi dron perlu diadaptasi dengan segera oleh pemain industri, memandangkan teknologi berkenaan mempunyai penggunaan yang meluas dan mampu menyelesaikan beberapa isu dengan segera, termasuk kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian

"Kita mengakui bahawa integrasi teknologi dron ke dalam ekonomi Sabah mempunyai pulangan yang besar untuk kemajuan dan kemakmuran negeri kita.

"Bagaimanapun, ia memerlukan usaha kerjasama daripada semua pihak berkepentingan- kerajaan, pemain industri, penyelidik dan daripada masyarakat sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan 'Sabah Drone Open Day 2023' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hajiji berkata, dron telah menjadi sebahagian daripada teknologi moden dan aplikasinya berkembang pesat merentasi pelbagai industri, daripada pertanian kepada infrastruktur serta daripada perkhidmatan, penghantaran kepada pemantauan alam sekitar.

"Dron juga boleh membantu dalam memastikan pemeliharaan ekosistem kita yang rapuh untuk generasi akan datang.

"Memulihara rizab semula jadi kita yang penting untuk pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar. 

"Ia merupakan satu bidang baharu yang perlu dipelopori dan sudah tentu kita di pihak kerajaan mengalu-alukan dan ingin memudah cara kepada perkembangan serta pertumbuhan bidang dron.

"Sungguhpun peraturan keselamatan dan peraturan dron adalah penting untuk dipatuhi bagi memastikan penggunaan dron yang bertanggungjawab serta selamat...pada masa sama, adalah sama penting bahawa peraturan-peraturan ini tidak seharusnya menjadi penghalang yang menyekat potensi aplikasi dron dalam sektor ekonomi kita," katanya.

Menurutnya, dalam era yang didorong oleh kemajuan teknologi pesat, adalah penting agar sedar akan kepentingan teknologi dan inovasi dalam meningkatkan ekonomi serta masyarakat Sabah secara keseluruhan.

Beliau berkata, Sabah yang diberkati dengan kekayaan sumber semula jadi, warisan budaya, dan industri pelancongan yang rancak, tidak seharusnya ketinggalan dalam perlumbaan untuk penyesuaian teknologi bagi memastikan pertumbuhan mampan serta berdaya saing dalam sektor ekonomi. 

"Adalah penting bagi kita terus bersaing dan merebut peluang yang ditawarkan oleh teknologi yang mana ia akan membuka jalan kepada kepelbagaian, peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan serta pembangunan mampan.

"Oleh itu, penting untuk kita mempersiapkan tenaga kerja bagi memperkasakan era digital melalui inisiatif peningkatan kemahiran," katanya.

Hajiji berkata, teknologi dan inovasi telah menjadi daya penggerak disebalik pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mengubah industri, menambah baik model perniagaan tradisional dan mencipta peluang baharu untuk usahawan serta pekerjaan.

"Lebih-lebih lagi, ia menarik pelaburan dan memupuk keusahawanan dengan menyediakan platform untuk golongan pemuda serta usaha niaga yang inovatif untuk berkembang maju.

"Ini seterusnya menyumbang kepada penciptaan peluang-peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan membina taraf hidup yang lebih baik untuk seluruh masyarakat.

"Teknologi menjadi alat untuk kita membina dunia yang lebih baik pada hari ini serta kepada generasi akan datang," tegasnya. 

Katanya, penganjuran 'Sabah Drone Open Day 2023' menandakan satu peristiwa penting untuk meneroka potensi besar dron dan bagaimana kemudahan itu boleh merevolusikan ekonomi negeri ini.

Comment