Sabah catat rekod 98.86% calon lulus penuh STPM 2022
16:07 Jul 14, 2023  |  By SabahKini2
Sabah catat rekod 98.86% calon lulus penuh STPM 2022

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Mohd Zaini Yanin berkata, jumlah berkenaan turut meningkat 0.26 peratus berbanding 98.6 peratus bagi STPM 2021.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 98.86 peratus jumlah calon lulus penuh peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 membabitkan seramai 6,921 daripada 7,001 calon.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Mohd Zaini Yanin berkata, jumlah berkenaan turut meningkat 0.26 peratus berbanding 98.6 peratus bagi STPM 2021.

Menurutnya, seramai 75 calon STPM 2022 di Sabah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan peningkatan 15 calon berbanding 60 calon pada 2021.

Katanya, pencapaian PNGK STPM 2022 di negeri ini meningkat 0.01 mata iaitu 2.72 berbanding 2.71 pada tahun sebelumnya.

"Seramai 324 calon berjaya memperoleh keputusan 5P (4.63 peratus), 4P seramai 4,802 calon (68.59 peratus), 3P seramai 1,084 calon (15.48 peratus), 2P seramai 466 calon (6.66 peratus), dan seramai 245 calon memperoleh 1P (3.5 peratus).

"Sebanyak 59 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus STPM 2022 membabitkan tiga kategori iaitu Kategori 1 bilangan calon sehingga 49 orang, Kategori 2 (50-99 calon) dan Kategori 3 bilangan seramai 100 calon ke atas," katanya pada majlis Pengumuman Keputusan STPM 2022 Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mencapai PNGK terbaik termasuk PPD Sipitang, Kunak, Papar, Tuaran, Semporna, Penampang, Kota Kinabalu, Beluran, Tawau, Beaufort, dan Kuala Penyu.

Sementara itu, pelajar cemerlang STPM 2022 Ahmad Farhan Ansir, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu menjadikan rutin membaca al-Quran sebagai sumber untuk terus fokus dan konsisten dalam pelajaran.

Anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini berkata, sebagai pelajar kumpulan pertama yang mengambil STPM Tahfiz di sekolah itu, cabaran besar adalah untuk menyesuaikan subjek tahfiz dengan subjek yang lain.

Katanya, masa untuk belajar banyak pengaruh dari persekitaran kawan-kawan yang juga sama-sama mengambil bidang tahfiz.

"Justeru, saya sentiasa meluangkan masa membaca al-Quran untuk dijadikan sebagai peneman tanpa mengabaikan al-Quran agar proses pembelajaran lebih mudah.

"Apabila banyak masa dengan membaca al-Quran, sekali gus masa untuk belajar juga akan jadi lebih efektif biarpun dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

Seperti kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Farhan turut bercita-cita untuk menjadi pensyarah.

Katanya, ibu bapa banyak menunjukkan contoh yang baik dan menjadikan mereka sebagai inspirasi untuk meneruskan legasi bidang pendidikan dalam keluarga.

Comment