Zahid selesaikan kes gantung Shahelmey secara dalaman, Shahelmey kata fokus kerja sehingga 2025
08:08 Aug 01, 2023  |  By SabahKini2
Zahid selesaikan kes gantung Shahelmey secara dalaman, Shahelmey kata fokus kerja sehingga 2025

Segala isu yang timbul akibat penggantungan Timbalan Ketua Menteri III Sabah Shahelmey Yahya daripada Umno selama enam tahun, akan diselesaikan secara dalaman, kata presidennya, Zahid Hamidi. Menurut Shahelmey dia akan fokus kerja sehingga Dun tamat 2025

Segala isu yang timbul akibat penggantungan Timbalan Ketua Menteri III Sabah Shahelmey Yahya daripada Umno selama enam tahun, akan diselesaikan secara dalaman, kata presidennya, Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, Umno pada masa ini berpendirian Shahelmey merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Adun Tanjung Keramat yang mewakili kerajaan perpaduan.

“Kita mempunyai semangat dalam kerajaan perpaduan, maka tindakan itu kita lakukan secara dalaman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik 4.0.

Ditanya tentang kenyataan Shahelmey beliau masih belum menerima surat penggantungan itu, Zahid berkata “kita buat secara dalaman.”

Pada 18 Mac lalu  tanpa melalui Setiausaha Agung UMNO Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, mengesahkan Shahelmey digantung keahlian parti selama enam tahun, namun pada 26 Julai lalu Shahelmey memberitahu beliau masih belum menerima surat penggantungan tersebut.

Pada 7 Jan lalu, Bung Moktar mengumumkan Umno dan Barisan Nasional Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji Noor sebagai ketua menteri bekerjasama dengan Warisan membentuk kerajaan baharu namun Shahelmey bersama empat Adun parti itu, kekal menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan menyebabkan ‘Langkah Kinabalu’ itu gagal

 

Kata Shahelmey

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas yang diamanahkan sehingga tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tamat pada 2025.

Katanya, perkara itu menjadi keutamaan bagi diri beliau selepas dilaporkan digantung daripada UMNO sejak Mac lalu selain menerima secara terbuka kenyataan berhubung tindakan yang diambil parti itu terhadapnya.

“Saya menerima perkara ini dengan hati terbuka dan saya akan terus bekerja sehingga 2025. Selepas itu barulah lihat di mana arah tuju saya,” katanya.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata demikian ketika diminta mengulas perancangannya selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan isu penggantungannya dalam UMNO diselesaikan secara dalaman.

451 Comments