UMS tekad laksana program pendidikan berinovatif
15:08 Aug 14, 2023  |  By SabahKini2
UMS tekad laksana program pendidikan berinovatif

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, menerusi pendekatan itu, UMS berjaya merekodkan kadar peningkatan yang tinggi berbanding peratusan tahun sebelumnya dengan jumlah sebanyak 98.3 peratus.

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited untuk melaksanakan program pendidikan yang berinovatif dan berfokus kepada keperluan semasa pasaran kerja.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, menerusi pendekatan itu, UMS berjaya merekodkan kadar peningkatan yang tinggi berbanding peratusan tahun sebelumnya dengan jumlah sebanyak 98.3 peratus.

“UMS ini terkenal dengan program pendidikan yang berinovatif dan berfokus pada keperluan semasa pasaran kerja.

“Berdasarkan statistik kebolehpasaran graduan pada tahun lalu, UMS berjaya merekodkan kadar peningkatan yang tinggi berbanding peratusan tahun sebelumnya dengan jumlah 98.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Borneo Hackathon 2023 di sini semalam.  Teks ucapan beliau disampaikan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS Prof Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi.

Program berkenaan dijayakan bersama Fakulti Komputeran dan Informatik UMS dan U-Science UMS dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI).

Hadir sama Pengarah Pustakawan Perpustakaan UMS, Md Sazali Md Salleh; Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin; Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri UMS, Dr Chin Pei Yee dan Pengarah Program Borneo Hackathon 2023, Joeyanatasa Jona Dapanis.

Dr Kasim berkata, dalam dunia yang semakin kompleks, dan cabaran yang semakin besar, inovasi adalah kunci kepada pembangunan berterusan.

Katanya, melalui usaha gigih dan semangat inovatif, UMS akan terus memberi impak positif kepada masyarakat.

“Saya berharap agar program sebegini dapat diteruskan sebagai pertandingan inovasi yang akan dianjurkan pada tahun-tahun akan datang dan melibatkan lebih banyak agensi.

“Hal ini secara tidak langsung boleh meningkatkan kebolehpasaran para peserta untuk menjadi lebih bersedia dalam menempuh alam pekerjaan,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Ogos itu disertai seramai 33 peserta yang terdiri daripada pelajar UMS, Tunku Abdul Rahman University Of Management And Technology Sabah (TARUMT); Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Sepanjang tiga hari program berkenaan, peserta menunjukkan bakat inovasi masing-masing untuk menyelesaikan empat tema penyelesaian masalah berkaitan kesihatan, pendidikan, pertumbuhan ekonomi serta komuniti dan bandar raya mapan.

Comment