Gagasan Rakyat kekal pada landasan lokal, sokong Kerajaan Pusat
14:08 Aug 21, 2023  |  By SabahKini2
Gagasan Rakyat kekal pada landasan lokal, sokong Kerajaan Pusat

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata parti akan terus bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

PAPAR: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan terus berjuang pada landasan lokalnya, namun tetap mengekalkan sokongan pada Kerajaan Pusat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, sehubungan itu berkata parti akan terus bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Kita di negeri Sabah, bersama-sama negeri jiran Sarawak, yang selalu disebut sebagai Blok Borneo, sewajarnya memupuk jiwa lokal tapi citranya nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan Gagasan Rakyat Bahagian Kawang, di sini semalam.

Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah berkata Gagasan Rakyat yang berpayung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Justeru, katanya, sememangnya hubungan antara negeri dan Pusat sesuatu yang harus disuburkan demi untuk sebuah kemajuan.

"Sementara Gagasan Rakyat memperkukuh citra perjuangan sebagai jajaran lokal dengan formula tempatan, kerjasaama dengan parti sekutu dalam kerajaan di peringkat nasional tidak dipinggirkan kerana kita berada dalam ekosistem federal sebuah negara.

"Sebab itu, citra perjuangan `Sayangi Sabah' GRS berteraskan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, tetap juga meletakkan konsep Malaysia Madani sebagai keutamaan, bersama-sama dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya.

Beliau juga berkata pendekatan `menang-menang' harus sentiasa menjadi tonggak pertimbangan dalam apapun usaha atau tindakan. 

Dalam hal ini, katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menggunakan meja perundingan bersama Kerajaan Pusat, sebagai wadah penyelesaian terhadap berbagai hal yang melibatkan kepentingan negeri Sabah.

"Sudah pun terbukti, dalam diam, Ketua Menteri kita telah menyelesaikan banyak hal membabitkan kepentingan lokal di peringkat nasional.

"Inilah cara Ketua Menteri kita bekerja. Beliau telah merintis jalan baharu untuk kemajuan negeri Sabah.

"Di bawah kepimpinan beliau, Sabah terus bergerak maju kerana Ketua Menteri tahu hala dituju," katanya.

Ghulam optimis kehadiran Gagasan Rakyat di persada politik Sabah mampu memperkukuh citra perjuangan GRS sebagai satu jajaran lokal serta formula tempatan.

Comment