Kereta digilis lori, wanita maut nahas 7 kenderaan
16:08 Aug 23, 2023  |  By SabahKini2
Kereta digilis lori, wanita maut nahas 7 kenderaan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian jam 6 petang itu menyebabkan mangsa yang berumur 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya digilis lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di jalan bertingkat Lido di Jalan Lintas, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian jam 6 petang itu menyebabkan mangsa yang berumur 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal kejadian mendapati, kemalangan membabit tujuh buah kenderaan iaitu dua lori dan lima kenderaan jenis sedan serta kompak.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori melanggar sebuah kenderaan di hadapannya dan impak rempuhan menyebabkan kenderaan yang berada di bahagian belakang tersepit di bawah lori berkenaan,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zaidi berkata kejadian itu mengakibatkan pemandu kereta jenis sedan tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang maut beralamat di Kampung Babah, Penampang dan bekerja di sebuah syarikat swasta di Pusat Komersil 88 Kepayan.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya pihak polis belum menerima maklumat berkenaan keadaan mangsa lain yang terbabit sama ada mengalami kecederaan ataupun sebaliknya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu. 

"Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas dengan dibantu penarik kereta bagi memudahkan urusan mengeluarkan mangsa.

"Kita terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya sambil menambah operasi keseluruhan ditamatkan jam 7.56 malam.

Comment