Malaysia pasang sistem GSWMS di perairan negara
16:08 Aug 25, 2023  |  By SabahKini2
Malaysia pasang sistem GSWMS di perairan negara

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pemasangan sensor GSWMS sebagai langkah pemantauan peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara.

GEORGE TOWN: Malaysia mengambil langkah segera memasang Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS) di perairan Sabah susulan langkah Jepun menyalurkan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke laut semalam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pemasangan itu sebagai langkah pemantauan peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara.

Beliau berkata setakat ini tiada peningkatan aras keradioaktifan dikesan di perairan negara namun pemantauan lanjut akan terus dilakukan.

"Kami prihatin dan mengambil berat kebimbingan rakyat Malaysia, maka Jabatan Atom telah pun memasang sensor GSWMS. Ia sudah ada di perairan negara kita, jadi kita akan selalu pantau sepanjang masa.

"Sensor ini selain daripada Malaysia hanya Singapura dan Vietnam saja ada. Jadi Malaysia menjadi negara ketiga yang pasang sensor ini," katanya.

Mengulas lanjut, Chang berkata, pihaknya merancang untuk memasang tambahan empat unit sistem berkenaan dalam masa terdekat di lokasi yang akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Jepun melepaskan sisa air dari loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke laut.

Beliau sebelum itu hadir merasmikan majlis STEM Showcase ’23, sempena Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Han Chiang, Jelutong pada Jumaat.

Pada Khamis, Jepun melakukan pelepasan sisa air tersebut sebagai langkah perlu untuk penyahtauliahan loji kuasa itu, yang terletak di pantai timur negara itu, kira-kira 220km (137 batu) di timur laut ibu negara Tokyo.

Negara itu telah mengumpul dan menyimpan air tercemar dalam tangki selama lebih dari satu dekad menyebabkan ruang semakin berkurangan, menurut laporan.

Bagaimanapun tindakan Jepun itu mendapat bantahan dari negara jiran seperti Korea Selatan dan China kerana dikhuatiri ia boleh membawa akibat negatif untuk jangka masa panjang.

Comment