Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag berkata wanita berhak mendapat pendidikan sewajarnya malah diberi peluang menjadi usahawan berbekalkan pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan.
KOTA KINABALU: Golongan wanita di negara ini bertuah kerana kepentingannya tidak pernah diabaikan kerajaan tidak kira suri rumah atau wanita berkerjaya.
Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag berkata wanita berhak mendapat pendidikan sewajarnya malah diberi peluang menjadi usahawan berbekalkan pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan.
Katanya golongan wanita semestinya memainkan peranan dan tangungjawab yang sama penting dalam membangunkan masyarakat.
"Wanita yang menjadi suri rumah dan tidak bekerjaya juga memainkan peranan besar dalam memastikan kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak terjaga.
“Disebabkan tanggungjawab inilah suri rumah perlu memiliki ilmu pengetahuan, ilmu kewangan dan kekeluargaan serta menjadi contoh kepada anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Anjung Mutiara sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) di sini.
Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata saban tahun turut berlaku perubahan di Sabah iaitu wanita sebagai pembuat keputusan terutamanya dalam sektor penjawat awam.
Menurutnya setakat Ogos tahun ini, statistik dan data wanita pembuat keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) merekodkan 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.
Tambahnya jawatan Setiausaha Tetap pula mencatat 9.09 peratus iaitu seorang wanita daripada 11 Setiausaha Tetap Kementerian dan peratusan Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT) sebanyak 40 peratus iaitu lapan wanita daripada 20 TSUT, manakala 30.23 peratus bagi Ketua Jabatan iaitu 13 wanita daripada 43 Ketua Jabatan.
"Jumlah ini jelas menunjukkan kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita adalah salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja dalam aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.
"Sebagai wanita yang turut memainkan peranan penting kepada pembangunan negara dan bangsa, marilah kita terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mendalami ilmu agama sebanyak mungkin,” katanya.
Juliah berkata, isu berkaitan wanita adalah sesuatu yang ‘malar segar’ dan perlu ditangani dari semasa ke semasa.
“Perkara yang menyentuh soal ibadah berkaitan wanita banyak dibincangkan oleh para Fuqaha dan cendekiawan Islam dari awal perkembangan Islam hingga kini.
“Agama Islam juga sangat mengambil perhatian kepada perkara hukum yang berkaitan wanita disebabkan kedudukan dan peranan wanita yang sangat besar dalam membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang di dunia dan akhirat.
“Program Anjung Mutiara yang diadakan amat tepat pada masanya berikutan perkara yang dibincangkan oleh penceramah lebih mengarah kepada peranan dan perkara yang berkaitan wanita dalam Islam,” katanya.