Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha dan perjuangan untuk mengadakan semula sambutan Hari Sabah bermula sejak beberapa tahun lalu, ianya menjadi perbualan, malah perbincangan dikalangan rakyat termasuk para pemimpin politik di negeri ini.
TAMBUNAN: Hari Sabah merupakan satu lagi acara rasmi yang sangat bersejarah dan signifikan kepada seluruh rakyat negeri ini, bukan saja untuk generasi hari ini tetapi juga generasi masa lalu dan masa depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha dan perjuangan untuk mengadakan semula sambutan Hari Sabah bermula sejak beberapa tahun lalu, ianya menjadi perbualan, malah perbincangan dikalangan rakyat termasuk para pemimpin politik di negeri ini.
“Menyedari akan peri pentingnya Hari Sabah ini kepada seluruh rakyat, maka kerajaan negeri memutuskan untuk mewujudkan kembali sambutan atau perayaan Hari Sabah di negeri ini.
"Sebenarnya Hari Sabah ini pernah disambut di beberapa daerah pada 31 Ogos 1963, yang kemudian disusuli dengan perayaan Hari Malaysia pada 16 September.
“Namun, perayaan Hari Sabah ini seolah-olah terselindung oleh Sambutan Hari Kebangsaan yang juga dirayakan pada tarikh yang sama.
"Maka setelah sekian lama, tahun ini dan pada hari ini (31 Ogos), kita raikan kembali Hari Sabah sebagaimana ia pernah disambut meriah 60 tahun yang lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Sabah di sini pada Khamis.
Menurutnya, Hari Sabah telah diisytiharkan sendiri oleh Governor British, Sir William Goode pada 28 Ogos, 1963 di Jesselton, dengan mengisytiharkan bahawa Sabah akan mempunyai kerajaannya sendiri dengan mengguna pakai Perlembagaan Negeri yang baharu, berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963.
Selaras dengan perisytiharan itu, setiap daerah telah diarah untuk membuat persiapan bagi mengadakan sambutan sempena Hari Sabah pada 31 Ogos 1963.
Hajiji berkata, perkembangan positif yang berlaku menjelang 31 Ogos, 60 tahun yang lalu itu, ada hubung kaitnya dengan gerakan pungutan suara yang dijalankan oleh Suruhanjaya Cobbold ke atas rakyat Borneo Utara (Sabah), bermula pada Februari 1962, berkaitan penubuhan sebuah negara baharu yang dinamakan Federation of Malaysia.
Katanya, empat wilayah yang terlibat di dalam usaha penyatuan itu ialah Malaya (Tanah Melayu), Sabah, Sarawak dan Singapura.
Menurutnya, dalam konteks Sabah, majoriti rakyat di negeri ini bersetuju bergabung dengan tiga wilayah yang lain iaitu Malaya Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura, bagi menubuhkan Persekutuan Malaysia.
“Disebalik sejarah berhubung perjuangan bagi membebaskan tanah air kita daripada belenggu penjajah, kita pada hari ini seharusnya mengambil pendekatan yang positif atas nama kedaulatan dan maruah bangsa.
"Justeru, keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengadakan semula sambutan Hari Sabah ini sebagai memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah Inggeris di bumi Sabah.
"Sementara Sarawak pula lebih awal telah mengisytiharkan 22 Julai setiap tahun sebagai Hari Sarawak," katanya.
Hajiji berkata, peristiwa yang berlaku di bumi Sabah genap 60 tahun lalu, sebenarnya merupakan catatan sejarah yang sangat bermakna dan tinggi nilainya, yang tidak harus dilupakan begitu sahaja.
Menurutnya, sejarah negeri ini bukan sahaja perlu dikekalkan, bahkan wajib dihayati oleh seluruh rakyat, agar tidak lupa akan sejarah silam tentang pembentukan kerajaan dan kewujudan Sabah yang sah di sisi undang-undang dan perlembagaan.
“Kerajaan British telah memberikan laluan kepada kita untuk membentuk masa depan sendiri, dan jalan itu terbuka dengan seluas-luasnya tanpa sebarang pertelingkahan atau pertumpahan darah.
“Dengan terbentuknya kerajaan sendiri disamping penggunaan Perlembagaan Negeri yang baharu, ia merupakan permulaan (prelude) kepada perisytiharan lebih besar iaitu pembentukan Persekutuan Malaysia yang merangkumi empat wilayah utama iaitu Sabah, Sarawak, Malaya dan Singapura.
"Setelah enam dekad berlalu, keputusan yang kita buat pada hari ini, walau agak terlewat tetapi pepatah Inggeris menyebut, 'it is better late then never!'," tegasnya.
Hajiji berkata, kepentingan Hari Sabah mengatasi pencapaian sejarah semata-mata adalah bukti semangat pantang menyerah orang Sabah, dahulu, sekarang dan akan datang.
"Ia adalah satu pengiktirafan terhadap budaya, tradisi dan falsafah keunikan kita yang telah membentuk kita menjadi diri kita hari ini, masyarakat majmuk yang bersatu dalam keperbagaian budaya dalam masyarakat.
"Atas semangat Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada hari yang sangat bersejarah ini, beliau mengajak generasi hari ini agar menghargai dan mengenang jasa serta bakti para pemimpin terdahulu serta pasukan keselamatan yang telah mempertaruhkan jiwa, raga mereka, bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan kita semua.
"Marilah kita raikan sambutan ini dengan penuh kesyukuran atas nikmat yang diberikan kepada kita semua selaku anak-anak pribumi yang bertuah, sentiasa berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera.
"Ingatlah, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang sedang kita kecapi ini hendaklah dipelihara serta dikekalkan untuk diwariskan kepada generasi akan datang," katanya.