Lepasan diploma dan STPM terlibat dalam Felo SMJ 2.0 edisi 2023
16:09 Sep 01, 2023  |  By SabahKini2
Lepasan diploma dan STPM terlibat dalam Felo SMJ 2.0 edisi 2023

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selain memilih para peserta dalam kalangan graduan, Filo SMJ edisi 2023 juga membuka ruang dan peluang kepada para pelajar lepasan diploma, STPM dan yang setaraf untuk terlibat dalam program itu.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 edisi 2023 lebih menarik kerana turut melibatkan lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selain memilih para peserta dalam kalangan graduan, Filo SMJ edisi 2023 juga membuka ruang dan peluang kepada para pelajar lepasan diploma, STPM dan yang setaraf untuk terlibat dalam program itu. 

“Usaha ini secara langsung dapat membangun belia kita secara holistik sekali gus mampu menyediakan mereka sebagai sumber manusia yang kompeten, produktif dan berkemampuan menjadi pelapis kepada kepimpinan negeri serta negara.

“Selain itu, terdapat penambahan beberapa agensi dan institusi yang menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan Felo SMJ 2.0 kali ini, termasuk sembilan buah Government Linked Company (GLC) selain kementerian-kementerian sedia ada.

“Saya percaya, melalui penglibatan semua kementerian, beberapa agensi dan GLC terpilih akan mampu merealisasikan matlamat penganjuran Felo SMJ untuk menyediakan pelapis kepimpinan Sabah suatu masa akan datang," katanya pada Majlis Penyerahan Felo SMJ 2.0 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin.

Hajiji optimis pelaksanaan Felo SMJ 2.0 akan menjadi pemangkin kepada belia-belia di Sabah untuk bersaing secara sihat sekali gus membangunkan pencapaian kendiri mereka. 

Sehubugan itu, beliau menyeru Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk memberikan penghakupayaan penuh kepada Majlis Belia Sabah (MBS) dalam melaksanakan program-program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS), khususnya program Felo SMJ dan yakin MBS mampu menjalankan program itu dengan baik dan teratur dibawah pemantauan kementerian.

Katanya, kerajaan negeri amat prihatin, peka dan menyokong aktiviti berkaitan pembangunan belia, terutama yang memberi pendedahan, membina potensi serta ketrampilan peribadi dalam diri anak muda. 

“Inisiatif Felo SMJ ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan di negeri ini.

"Ia juga selari dengan teras kedua dalam Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

"Kerajaan negeri akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti," katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan kerajaan untuk mencapai hasrat memperkasa modal insan negeri ini seperti penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di bawah seliaan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah. 

Menurutnya, MPPS merupakan program yang menghimpunkan pimpinan mahasiswa dan pelajar Sabah daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta institusi pendidikan seluruh negara, sebagai medium untuk bertukar-tukar pandangan selain mengangkat aspirasi golongan muda negeri ini.
 
Katanya, kerajaan telah bersetuju melaksanakan Rumah Transit Belia SMJ yang dicadangankan oleh MPPS dan mahu pelaksanaan program rintis rumah transit itu disegerakan bagi membantu golongan sasar yang memerlukan kediaman sementara, sekali gus membantu meringankan bebanan mereka.

Hajiji berharap peserta Felo SMJ yang ditempatkan di kementerian, agensi kerajaan, GLC untuk mendapat bimbingan langsung daripada para menteri, ketua-ketua eksekutif dan kepimpinan tertinggi kerajaan akan memperolehi pendedahan alam kerjaya serta dapat mempelajari tatacara pengurusan sesebuah kementerian, agensi dan GLC.

“Semoga peluang menjadi Felo SMJ dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta bagi mempelajari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran, baik dalam aspek pentadbiran sehingga ke tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Sepanjang pelaksanaan program ini dan selepas itu, mereka disaran untuk mengaplikasikan pengetahuan serta pengalaman untuk kembali kepada masyarakat," katanya.

Comment