Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan.
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahannya
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa peristiwa penting telah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, Kerajaan GRS telah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah.
"Beberapa kejayaan yang dicapai kerajaan negeri dalam tempoh lebih dua tahun melalui Pelan Pembangunan Hala Tujuh Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021.
"Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat naik.
“Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh hasil RM7 bilion, ini merupakan pencapaian yang tertinggi sejak mencapainya kemerdekaan.
"Usaha-usaha ini akan giat dipertingkatkan lagi termasuk mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.
“Namun kita tidak pernah berpuas hati, malah akan terus membawa pembangunan dan kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat sejak sekian lama di negeri ini," katanya pada majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2023 di Padang Merdeka pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, setelah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, Sabah khususnya telah mengecapi pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek.
Katanya, proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bukanlah berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia adalah atas segala usaha dan keringat pemimpin-pemimpin ketika itu menempuh pelbagai liku, rintangan dan cabaran untuk merealisasikannya.
Justeru katanya, menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini.
Menurutnya, kesatuan dan perpaduan antara rakyat merupakan kunci kepada kejayaan negara. Perpaduan juga aset paling penting dalam memperkukuh kedaulatan dan keamanan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.
Hajiji berkata, sambutan Hari Malaysia 2023 bertemakan 'Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan', adalah aspirasi tekad dan komitmen pemimpin bersama
rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan yang aman serta sejahtera.
Katanya, selaras dengan konsep Malaysia MADANI, ia adalah kunci utama rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.
“Semoga Malaysia terus aman dan harmoni. Rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling bertoleransi," katanya.