Keuntungan Astro susut, langganan merosot kini Astro Radio Sabah ditutup
02:10 Oct 02, 2023  |  By SabahKini2
Keuntungan Astro susut,  langganan merosot kini Astro Radio Sabah ditutup

Apakah punca Astro Radio Sabah ditutup? Astro melaporkan keuntungan susut, langganan berkurang, kos operasi tinggi, kelemahan segmen televisyen & segmen radio gagal menarik perhatian . Turut ditutup Astro Radio Sarawak

Inilah perniagaan. Ada untung dan rugi. Syarikat media juga tidak terlepas berhadapan situasi ini. Media Prima Berhad pernah mengalami kerugian hampir RM80 juta tahun 2019. Dilaporkan 1000 kakitangan bakal dibuang.

Namun Media prima menstruktur semula syarikat itu. Membuang CEO Iskandar yang lembap dan memacu keuntungan bermula tahun 2020.

Kali ini Astro Malaysia Holdings Bhd berhadapan situasi sama. Mereka bergelut untuk bertahan, mengurangkan kos operasi, pemberhentian Sukarela VSS, membuat pinjaman dan membeli studio pasca produksi, Basecamp Films untuk menghasilkan kandungan tempatan.

16 Ogos lalu Astro Malaysia Holdings Bhd mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS), menerima kemudahan pinjaman berjangka berjumlah RM400 juta daripada Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Bhd (SMBC). Kemudahan pinjaman kepada MBNS itu adalah secara tidak bercagar.

Astro Malaysia berkata, tujuan pinjaman itu adalah untuk membiayai kos MBNS yang berkaitan dengan pengeluaran, pembelian dan pelesenan kandungan, program atau saluran, serta pembelian peranti set-top box, termasuk penyelesaian pembiayaan vendor. Selain pinjaman itu juga adalah untuk perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modalnya, termasuk pemerolehan aset untuk penyiaran dan transmisi, serta pemerolehan perisian dan platform. Ini termasuk juga bagi tujuan membiayai semula kemudahan pinjaman berjangka sedia ada sebanyak RM380 juta daripada SMBC, yang diperoleh pada 9 Ogos, 2018.

Terbaru pada 26 September lalu  Astro Malaysia Holdings Bhd mengumumkan pendapatannya pada separuh pertama tahun kewangan 2024 menguncup sebanyak tujuh peratus berikutan sumbangan lebih rendah daripada langganan televisyen dan hasil iklan radio.

Penganalisis Kenanga Research, Kylie Chan Sze Zan, berkata penurunan lebih besar 45 peratus keuntungan bersih teras Astro pula berpunca daripada kenaikan kos pembiayaan, selain kos kandungan dan susut nilai yang lebih tinggi.

Keuntungan bersih Astro susut mendadak kepada RM23.65 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2023, daripada RM98.47 juta dalam tempoh sama setahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Astro berkata hasil merosot sebanyak 5.6 peratus kepada RM869.82 juta daripada RM921.12 juta, terutamanya berpunca daripada penurunan pendapatan langganan dan jualan barang dagangan.

"asas pelanggan Astro terus merosot pada suku ini dengan penamatan 41,000 pelanggan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sze Zan berkata Astro menjangkakan kos awal kira-kira RM52 juta daripada pelaksanaan skim pemisahan sukarela (VSS).

Namun, katanya penjimatan kos hanya akan direalisasikan secara progresif memandangkan pekerjanya akan dilepaskan berperingkat.

 

Kebimbangan Astro

Sejak jun lalu lagi Astro mengumumkan langganan dan hasil iklan yang lemah menjejaskan prestasinya sebagaimana di umumkan suku tahun kewangan 2024 di atas.

Penguncupan pendapatan dan perbelanjaan operasi lebih tinggi, yang melebihi rangsangan diterima daripada cukai yang lebih rendah.

"Seperti yang dinyatakan pendapatan diseret oleh kelemahan pada segmen televisyen, manakala segmen radio gagal menarik perhatian dengan keuntungan sebelum cukai yang mendatar.

Penganalisis RHB Research, Jeffrey Tan, pula berkata masalah Astro telah pun sangat diketahui dengan isu struktur dan tekanan inflasi yang memuncak terus menyukarkan kumpulan untuk menyerap penurunan hasil langganan.

 

Kini kesannya terasa di Sabah dan Sarawak


Terbaru ASTRO Radio Sabah menutup operasi pejabatnya di negeri ini berkuat kuasa 30 September 2023.


Pejabat Astro Sabah

Bagaimanapun menurut Bekas Ketua Kandungan dan Digital Astro Radio Sabah, Ily Lia Affiqah siaran radio Era Sabah tidak akan dihentikan dan masih lagi mengekalkan kandungan serta penyampai tempatannya.

Penyampai Era Sabah akan ‘berhijrah’ ke ibu pejabat di Kuala Lumpur seperti Addnan, Mijul, Emma, Nicky serta Adam.

Keewon dan Skye memutuskan untuk ‘berpisah’ selepas 31 Disember 2023.

Ily Lia Affiqah bersama penyampai dan kakitangan Era Sabah

 

Keputusan menghentikan operasi pejabat Astro Radio Sabah itu dicapai pada Ogos lalu.

Sementara itu saluran radio bahasa Inggeris, Hitz Sabah dan MY Sabah untuk bahasa Cina akan dikembalikan semula siarannya ke Kuala Lumpur berkuat kuasa Sabtu. 

“Operasi pejabat Astro Radio Sabah akan ditutup berkuat kuasa 30 Sept. Tiada lagi pekerja operasi dan semuanya diberikan VSS (Pemberhentian Secara Sukarela).

“Peminat di Sabah masih boleh mendengarkan siaran Era Sabah seperti biasa. Cuma saja ‘broadcast’ akan dipancarkan dari Bukit Jalil”

“Semua penyampai akan bersiaran dari Kota Kinabalu sehingga 31 Disember ini sebelum semua operasi dipindahkan sepenuhnya ke ibu pejabat Astro Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 1 Januari 2024. 

“Siaran Hitz Sabah dan MY Sabah juga akan dikembalikan semula ke KL. Tiada lagi penyampai mahu pun kandungan tempatan untuk kedua-dua saluran ini bermula 30 September,”

Menurut Ily Lia Affiqah Astro Radio Sarawak juga ditutup berkuat kuasa Sabtu lalu (30 September).

Untuk rekod Astro Radio melebarkan sayapnya ke Sabah pada 1 Oktober 2010 di bawah jenama Radio Bayu.

Siapa Astro Holdings Malaysia Berhad?

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sekarang ialah Euan Daryl Smith orang British. Pengerusinya ialah Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz said. Cara  Euan Daryl Smith tentu berbeza dengan CEO lama berasal dari Malaysia Henry Tan Poh Hock.


Euan Daryl Smith

Cara Euan nampak lebih menumpukan pembaharuan  perkhidmatan penstriman, pengenalan Ultra 4K UHD dan Ulti HD Boxes yang disambungkan hibrid, kemasukan ke pasaran penyedia perkhidmatan internet dengan Astro Fibre dan meningkatkan teknologi daam operasi media.

CEO Astro Radio ialah Kenny Ong Chun Eng yang menyertai Astro 15 February 2021. Beliau bertanggungjawab untuk menyelia hala tuju strategik Astro Radio, khususnya jenama dan bakat serta memacu pertumbuhan pengiklanan radio. Keputusan menutup Astro Sabah pastinya adalah laporannya sebagai ketuadan memindahkan kakitangannya ke Kuala Lumpur.

Astro mungkin tidak pernah bertemu kerajaan negeri untuk menyuarakan masalah mereka bagi mengatasi kos operasi di Sabah. Sudah pasti akan ada pihak di Sabah menyalahkan kerajaan Sabah dan GRS wal hal bukan salah mereka pun. 

Astro Sabah pula dibarisi oleh pengurusan anak muda yang tidak begitu berpengalaman besar dalam pemasaran di Sabah. Sekalipun Era Sabah daripada hanya 30,000 pendengar, hari ini berjaya menaikkan sehingga hampir 130,000 pendengar namun belum mencapai KPI terbaik memandangkan lebih 13 tahun beroperasi di Sabah selain tidak dapat menampung kes operasi semakin bertambah.

 

CEO Radio Astro ialah Kenny Ong. Senang kerja dia tak untung maka tutup pejabat

 

 

 

Comment