PJR dilaksanakan di 266 lokasi di Sabah
17:10 Oct 06, 2023  |  By SabahKini2
PJR dilaksanakan di 266 lokasi di Sabah

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah itu termasuklah 242 lokasi membabitkan pelaksanaan di dalam premis, enam di luar premis dan 18 secara bergerak dengan bilangan pengunjung dianggarkan melebihi 150,000 orang.

RANAU: Program Jualan Rahmah (PJR) berjaya dilaksanakan di 266 lokasi di negeri ini sehingga 3 Oktober lalu.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah itu termasuklah 242 lokasi membabitkan pelaksanaan di dalam premis, enam di luar premis dan 18 secara bergerak dengan bilangan pengunjung dianggarkan melebihi 150,000 orang. 

Katanya penganjuran PJR di seluruh negara pula merekodkan kehadiran melebihi 3.38 juta orang sejak dilaksanakan.

“PJR yang dilaksanakan di Pekan Kundasang kali ini melibatkan pasar raya Bataras yang menawarkan pelbagai keperluan harian terdiri daripada barangan kering dan basah serta barangan keperluan asas yang lain.

“Program yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 3.30 petang ini memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk,” katanya.

PJR adalah kolaborasi kerajaan bersama industri sektor peruncitan seperti pasar raya dan hypermarket yang menawarkan penjualan barangan keperluan harian pada kadar harga diskaun di antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa.

Sementara itu, Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata KPDN juga menyambut baik keputusan Shell Timur Sdn Bhd untuk menarik semula perancangan awal penutupan operasi stesen minyak mereka di Sabah, Sarawak dan Labuan. 

“KPDN dimaklumkan mengenai perkara ini melalui sepucuk surat pada 3 Oktober lalu dan keputusan ini dapat memastikan kelancaran serta keterjaminan bekalan minyak petrol dan diesel bagi penduduk di Malaysia Timur. 

“Shell juga memberikan komitmen untuk terus membekalkan produk bekalan api berkualiti tinggi di Sabah, Sarawak dan Labuan termasuk menawarkan perkhidmatan pilihan peruncitan bukan bahan api seperti Select Shop dan Deli-To- Go di stesen runcit mereka,” katanya.

Sebelum ini Shell memaklumkan terpaksa menutup 40 stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan dalam fasa pertama bermula Januari 2024 dan 16 stesen minyak dalam fasa kedua bermula Oktober tahun hadapan. 

Keputusan awal ini dibuat selepas syarikat minyak terbabit mengambil kira peningkatan kos logistik yang amat tinggi.

Perkara ini bagaimanapun dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan dan seterusnya mendapat perhatian Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan. 

Pada masa sama, sekumpulan pengusaha stesyen minyak Shell di Pantai Timur Sabah juga bertemu dengan Armizan bagi memohon agar memanjangkan memorandum rayuan kepada kerajaan. 

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga pernah membangkitkan isu ini secara rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Comment