Sembilan lelaki ditahan dalam serbuan Op Dadu Khas
15:10 Oct 11, 2023  |  By SabahKini2
Sembilan lelaki ditahan dalam serbuan Op Dadu Khas

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, serbuan menerusi Op Dadu Khas berjaya merampas pelbagai peralatan komputer, kad bank dan telefon bimbit.

KOTA KINABALU: Polis menahan sembilan lelaki selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mempromosi perjudian dalam talian di sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan atau 'calling centre' di Jalan Bukit Manggis Benoni, Papar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata serbuan menerusi Op Dadu Khas kira-kira jam 8 malam, 3 Oktober lalu itu juga berjaya merampas pelbagai peralatan komputer, kad bank dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk aktiviti terbabit. 

Katanya operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan dihuni sembilan individu berumur dalam lingkungan 19 hingga 31 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian ‘calling centre’.

"Kesemua suspek ini ditahan kerana dipercayai  mempromosi perjudian dalam talian," katanya ketika dihubungi di sini.

Azmi berkata, hasil siasatan awal polis juga mendapati kegiatan berkenaan menyasarkan pelanggan tempatan di negara ini. 

“Kesemua tangkapan dan rampasan barang kes dibawa balik ke IPD Papar untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.

Comment