Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pameran sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 TYT Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin memaparkan keunikan tamu sebagai warisan kebudayaan masyarakat.
Kota Kinabalu: Tamu yang popular di kalangan masyarakat di negeri ini diangkat sebagai warisan budaya yang unik dan dipaparkan menerusi pameran ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama’ pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pameran bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin itu memaparkan keunikan tamu sebagai warisan kebudayaan masyarakat tempatan yang masih dijalankan sehingga hari ini.
“Negeri Sabah sememangnya sinonim dengan tamu yang berperanan sebagai pusat pertemuan dan perniagaan yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai etnik bagi menjual beli hasil-hasil kampung.
“Mereka dapat bersosial, berkongsi berita selain menjadi tempat berniaga dan membeli barang keperluan. Tamu juga menjadi daya tarikan para pelancong yang berkunjung ke Sabah, selain menjadi tempat berniaga dan membeli barang keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Dirgahayu Tuan Yang Terutama dan Tamu di Muzium Tamadun Islam, di sini semalam.
Christina berkata, pameran itu juga mempamerkan aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan Tun Juhar sebagai payung perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Sejarah perjalanan Tuan Yang Terutama Tun Juhar dalam pentadbiran Sabah adalah tidak asing lagi bagi kita, kekuatan dan semangat cintakan keamanan yang ditonjolkan oleh Tun Juhar mengikat dan memandu kesatuan kita bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negeri ini terus terjamin,” katanya.
Katanya, meskipun menghadapi pelbagai cabaran mendatang dari pelbagai penjuru namun masyarakat mampu kekal bersatu demi negeri tanah air tercinta, Sabah Maju Jaya seiring dengan tema Malaysia Madani, ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Muzium Sabah, Arif Abd Hamid.
Majlis perasmian pameran berkenaan disempurnakan oleh Tun Juhar turut dibuka kepada orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan tiket masuk untuk untuk pelawat tempatan RM2 seorang, semnentara pelancong asing berjumlah RM15 seorang.