PRN Sabah ada dua tahun lagi, belum dapat ilham boleh mimpi-mimpi dulu kata Hajiji
12:11 Nov 14, 2023  |  By SabahKini2
PRN Sabah ada dua tahun lagi, belum dapat ilham boleh mimpi-mimpi dulu kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor kata PRN Sabah boleh awal atau habiskan tempoh Oktober 2025. Hajiji kata setakat ini belum ada ilham dan boleh bermimpi-mimpi dahulu

Seminggu dua ini terdapat pihak membuat naratif awal seolah-olah PRN Sabah akan diadakan bulan Jun 2024. Menjawab semua isu itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diawalkan.

Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata tempoh tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri GRS-PH Plus adalah pada Oktober 2025.

“Kita belum lagi dapat ilham tetapi kita ada dua tahun lagi, sebagai presiden parti, saya ingin mengingatkan pimpinan semua peringkat, termasuk sayap-sayap parti untuk bersedia dan menggerakkan jentera parti.

“Dua tahun bukan lama akhir tempoh kita ini ialah bulan 10, 2025 jadi kita kena kerja, kita mimpi-mimpi dululah,”

“Walaupun kita masih mempunyai tempoh dalam dua tahun lagi namun siapa tahu kemungkinan pilihan raya akan kita awalkan?” katanya dalam ucapan dasar Persidangan Agung Tahunan 2023 Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Hajiji juga berkata dalam menghadapi PRN Sabah akan datang, beliau berharap tiada lagi cubaan rampasan kuasa dibuat seperti pada awal tahun ini yang boleh menjejaskan kestabilan politik negeri.

Pengerusi GRS itu berkata ia antara titik hitam dalam politik Sabah yang amat mengecewakan kerana dilakukan oleh segelintir pemimpin iaitu rakan dalam kerajaan negeri sendiri dan ia telah mengakibatkan segala urusan pentadbiran negeri terganggu.

Tanpa menamakan pemimpin atau kumpulan itu, beliau berkata kerajaan negeri nyaris lumpuh serta hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan pemerintahan malah mendatangkan kegusaran kepada rakyat Sabah sendiri yang bimbang jika berlaku PRN sekali lagi.

Hajiji berkata ketidakstabilan politik serta perubahan yang kerap di Sabah termasuk menukar Ketua Menteri boleh menyebabkan dasar kerajaan sebelum ini tidak dapat diteruskan dan ini merencatkan pembangunan negeri ini sendiri.

“Membangunkan negeri memerlukan jangka masa munasabah selain komitmen serta iltizam kerajaan untuk merealisasikan matlamat menjadikan negeri lebih maju dan membangun.

“Sabah memerlukan iltizam politik untuk membangun dengan segera. Kuncinya ialah kestabilan dan hanya dengan kestabilan, Sabah mampu dibangunkan serta dimajukan,” katanya.

Beliau berkata atas faktor kestabilan politik dan kepentingan rakyat, GRS memutuskan untuk bersama Kerajaan Perpaduan seterusnya memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mengulas lanjut mengenai kehadiran empat mantan Ketua Menteri Sabah ke persidangan itu, Hajiji berkata, mengenai kehadiran empat mantan Ketua Menteri Sabah, saya mempunyai satu pendekatan yang berbeza kepada pemimpin-pemimpin kita yang lama, ada lagi yang sudah lagi tidak aktif dalam politik, jadi kita kena bagi penghormatan kepada mereka untuk datang ke mesyuarat seperti ini.

Empat mantan Ketua Menteri yang hadir itu ialah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Osu Sukam, Tan sri Musa Aman dan Datuk Yong Teck Lee.

“Semua bekas-bekas Ketua Menteri saya ada jemput tetapi ada yang tidak berada di negeri Sabah, jadi yang lain mereka datang untuk kita ucapkan penghargaan sebagai penasihat, pandangan kepada kita dalam perjuangan ini.

“Kita amat menghargai kehadiran mereka semua. Mereka datang untuk memberi sokongan moral kepada saya dan kepada persidangan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji amat gembira Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah yang pertama mendapat sokongan yang baik dari semua peringkat akar umbi parti.

 

 

 

 

4 Comments