Petronas merekodkan 19 penemuan penerokaan. Penemuan ini merupakan sumber baharu untuk Malaysia pada 2023. Semuanya dari Bumi Sabah dan Sarawak yang memberi kekayaan kepada Malaysia
1 Disember lalu PETRONAS dan Kontraktor Pengaturan Petroleum syarikat minyak dan gas nasional itu merekodkan 19 penemuan penerokaan serta dua kejayaan penilaian penerokaan, menyumbang lebih satu bilion tong setara minyak (bboe) sumber baharu untuk Malaysia pada 2023.
Pencapaian itu adalah hasil daripada program penerokaan yang dipergiatkan yang dijalankan beberapa tahun lalu, yang menyaksikan penggalian 25 telaga, bilangan telaga penerokaan tertinggi yang digali dalam setahun saja sejak 2015.
Lembangan Sarawak
Lebih separuh penemuan itu dibuat di Lembangan Sarawak, terutamanya dalam dua kelompok dalam wilayah geologi Balingian dan Luconia Barat.
Antara penemuan ketara ialah Gedombak-1, Sinsing-1, Machinchang-1 dan Mirdanga-1 oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), bersama Babadon-1 dan Chenda-1 oleh PTTEP Thailand.
Lembangan Barat Laut Sabah
Tiga penemuan telah dibuat di Lembangan Barat Laut Sabah.
Layang-Layang-1 oleh PETRONAS Carigali, serta Hikmat-1 dan Dermawan-1 oleh PTTEP membuktikan sistem petroleum berfungsi yang merungkai peluang baharu di kawasan laut ultra dalam dan laut dalam.
Satu lagi kempen penggalian sedang dijalankan dalam lembangan yang terbukti sama di perairan cetek di luar pantai Sabah.
Dua penemuan lain telah dibuat dalam Lembangan Melayu.
Hibiscus Oil & Gas Malaysia menemui gas di telaga Bunga Lavatera-1 berhampiran hab PM3, dan membawanya ke aliran dengan kadar alir kira-kira 50mmscf sehari dalam tahun yang sama.
PTTEP menemui minyak dan gas di Simpoh Beludu-1, setelah menembusi takungan hidrokarbon di pasir Kumpulan K yang lebih dalam.
Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan, berkata kejayaan penerokaan penting itu mengesahkan kepercayaan pihaknya bahawa terdapat lebih banyak potensi dalam apa yang dipanggil lembangan Malaysia matang, menggunakan data seismik 3D baharu dan teknologi perisian terkini untuk lebih baik mengesan potensi hidrokarbon yang lebih dalam.
Beliau berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya penggunaan strategi penerokaan baharu rakan kongsi yang menumpukan pada potensi berhampiran lapangan, yang akan membolehkan penjanaan hasil lebih cepat bagi penemuan itu.
Katanya, ia adalah penting dalam memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat bukan saja di Malaysia tetapi juga kepada negara-negara di rantau ini.
"MPM akan melancarkan siri seterusnya Pusingan Bidaan Malaysia awal tahun depan, menawarkan lebih banyak blok penerokaan dan peluang sumber yang ditemui kepada bakal pelabur.
"Sokongan padu daripada negeri pengeluar serta kerajaan persekutuan adalah penting dalam kejayaan pertumbuhan asas sumber negara," katanya.
Apakah maksud penemuan ini?
Ini bukti menunjukkan Sabah dan Sarawak sangat kaya dengan sumber minyak di negara ini.
Kerajaan Sabah dan Sarawak setiap tahun mengumumkan pendapatan Cukai Jualan Minyak mentah, gas asli dan produk petroleum yang jelas menambahkan pendapatan negeri. Kerajaan Sarawak saja menyumbang RM3.5 blion manakala Sabah sekitar RM2.4 bilion setahun .
Dengan penemuan 19 telaga minyak ini maka pastinya Kerajaan Negeri dan PETRONAS terjalin sedia ada pastinya akan memberi keuntungan kepada Petronas dan kerajaan negeri.
Jika Kerajaan Persekutuan mempercepatkan lagi kelulusan pemberian 40 peratus hasil persekutuan yang didapati dari negeri sudah tentu Sabah dan Sarawak paling kaya di negara ini.