Pahang, Sabah masuk senarai yang dicadang tapak pelancaran roket
13:12 Dec 11, 2023  |  By SabahKini2
Pahang, Sabah masuk senarai yang dicadang tapak pelancaran roket

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, projek inisiatif kewangan swasta tidak akan melibatkan pengeluaran kos oleh Kerajaan Persekutuan yang hanya berperanan sebagai pengeluar lesen untuk operasi tapak.

PUTRAJAYA: Pahang dan Sabah termasuk dalam senarai beberapa negeri yang dicadang sebagai tapak pelancaran roket membawa satelit ke angkasa lepas yang pembinaan dijangka bermula tiga tahun dari sekarang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, projek inisiatif kewangan swasta tidak akan melibatkan pengeluaran kos oleh Kerajaan Persekutuan yang hanya berperanan sebagai pengeluar lesen untuk operasi tapak itu sahaja.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu permohonan rasmi yang mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan kerajaan, penyerahan kajian kebolehlaksanaan dan penilaian kesan alam sekitar (EIA) projek terbabit yang melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat swasta.

“Dia orang sudah datang berjumpa dengan kami. Kalau tapak di Semenanjung Malaysia, dia kena di pantai timur sebab trajektori roket dari barat ke timur. Kalau di pantai barat, jika berlaku kemalangan akan jatuh di tempat ramai orang.

“Jadi hanya boleh dibina di pantai timur Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Cadangan dibina di Terengganu dan Kelantan, setakat ini tidak ada. Yang menjadi pendahulu ialah Pahang dan Sabah serta ada juga beberapa negeri lain,” katanya ketika temu bual eksklusif dengan Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika projek itu menjadi kenyataan, Malaysia adalah negara kesembilan di dunia yang mempunyai tapak pelancaran roket dengan pelbagai kelebihan ditawarkan termasuk bebas gempa bumi dan lokasi strategik berdekatan garisan khatulistiwa yang akan menjimatkan bahan api roket kerana jarak yang dekat untuk ke orbit bumi.

Katanya, pembinaan tapak itu yang akan menjadi tarikan pelancong dari luar negara juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan satu industri yang mempunyai pertumbuhan, nilai dan gaji tinggi serta bukan berintensif buruh.

“Kita perlu ada industri yang berteknologi tinggi yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi yang ramai, jadi kita kena wujudkan satu ekosistem baharu. Kalau kita ada tapak pelancaran roket di sini, ia boleh disokong oleh ekosistem industri elektrik dan elektronik (E&E) kita yang agak matang terutama di Pulau Pinang dan Melaka.

“Roket akan dibawa masuk dari luar negara dengan bahagian dipisah-pisahkan dan memerlukan kepakaran pekerja tempatan untuk memasang semula dan akan mewujudkan ekosistem industri baharu termasuk pembuatan satelit dan rantaian nilai lain yang panjang,” katanya

Beliau berkata, industri baharu itu dijangka dapat menyelesaikan isu graduan bidang angkasa dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terpaksa bekerja dalam bidang itu di luar negara atau bekerja di negara ini dalam bidang yang tiada kaitan dengan jurusan pengajian.

“Satelit yang kita akan lancarkan ini jika berada di orbit rendah bumi akan mempunyai jangka hayat antara lima hingga tujuh tahun dan selepas itu perlu dilancar satelit baharu. Jadi ini adalah satu industri yang akan menghasilkan pendapatan berulang.

“Dengan lebih banyak industri dijangka akan menggunakan teknologi satelit, jumlah pelancaran akan bertambah daripada sekarang lebih 2,000 satelit dilancarkan setiap tahun dan ia akan menjadi satu bisnes yang besar,” katanya.

Comment