Menteri Penyelaras COVID-19 Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata rekod bermula 10 hingga 16 Disember (ME50) lalu itu juga turut mencatat 984 kes dengan peningkatan 356 peratus berbanding 216 kes direkodkan pada minggu sebelumnya (ME49).
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kes kematian akibat COVID-19 di sini minggu lalu atau Minggu Epidemiologi (ME) 50 berbanding tiada kes sepanjang minggu sebelumnya.
Menteri Penyelaras COVID-19 Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata rekod bermula 10 hingga 16 Disember (ME50) lalu itu juga turut mencatat 984 kes dengan peningkatan 356 peratus berbanding 216 kes direkodkan pada minggu sebelumnya (ME49).
Katanya, seramai 139 pesakit masih menerima rawatan di hospital seluruh negeri dan empat pesakit memerlukan penjagaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua orang pesakit memerlukan ventilasi.
“Berdasarkan Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, kesemua kes yang dilaporkan membabitkan jangkitan tempatan dengan purata sebanyak 86 kes baharu setiap hari berbanding purata 19 kes sehari pada minggu lalu.
"Bilangan pesakit baharu berkaitan COVID-19 dalam rawatan juga meningkat sebanyak 55 peratus kepada 133 kes pada minggu lalu berbanding 86 kes pada minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah, di sini.
Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jangkitan COVID-19 mengikut daerah menunjukkan Kota Kinabalu mencatat kenaikan tertinggi sepanjang ME50 dengan 413 kes baharu berbanding 86 kes pada ME49.
“Ia disusuli Penampang dengan 109 kes baharu positif COVID-19, berbanding 21 kes pada minggu sebelumnya, manakala di Tuaran meningkat kepada 100 kes berbanding 32 kes pada minggu sebelumnya.
“Turut mencatat kenaikan mendadak ialah Putatan dengan sebanyak 60 kes baharu pada minggu lalu, berbanding hanya satu kes dilaporkan pada minggu sebelumnya, diikuti Kota Belud sebanyak 66 kes pada minggu lalu berbanding 15 kes pada minggu sebelumnya,” katanya.
Katanya, seiring peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sabah, kerajaan negeri menasihatkan orang ramai mengamalkan penjagaan kebersihan diri pada tahap optimum seperti kerap mencuci tangan.
"Pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam kepada golongan berisiko dan individu bergejala amat digalakkan.
"Kepada pihak yang belum mendapatkan vaksin dos primer dan dos penggalak, bagi tujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan, anda dinasihatkan untuk berhubung dengan Klinik Kesihatan yang berdekatan.
"Bagi golongan yang berisiko, adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan antiviral Paxovid yang boleh diperolehi di Klinik Kesihatan berdekatan," katanya.
Tambahnya individu yang menunjukkan simptom serta gejala COVID-19 dinasihat untuk mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, inform and Seek).
“Pihak KKM juga mengeluarkan arahan pengurusan kontak rapat dengan mengambil langkah pencegahan dalam tempoh lima hari dari tarikh akhir pendedahan kepada kes positif COVID-19 bagi kontak rapat yang tidak bergejala.
“Bagi kontak rapat yang bergejala, digalakkan untuk melaksanakan kuarantin kendiri dan digalakkan menjalankan ujian RTK-Ag kendiri pada hari gejala bermula dan pada hari ketiga.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa patuh kepada arahan KKM dari semasa ke semasa bagi mengelakkan penyebaran COVID-19,” katanya.