Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, peningkatan itu boleh dikaitkan dengan peningkatan aktiviti penyimpanan semula dan jurang harga yang lebih rendah berbanding pengeluar sarung tangan China.
KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank (Maybank IB) menganggarkan harga saham bagi sarung tangan getah terus stabil, disokong pendapatan lebih baik pada 2024.
Katanya, walaupun jumlah jualan tidak menentu kesan lebihan bekalan di pasaran namun, jumlah jualan meningkat dengan ketara dari suku tahun ke suku tahun terutama dalam kalangan pembuat sarung tangan domestik.
Peningkatan itu boleh dikaitkan dengan peningkatan aktiviti penyimpanan semula dan jurang harga yang lebih rendah berbanding pengeluar sarung tangan China.
"Kami menjangkakan kadar penggunaan kilang meningkat pada suku tahun akan datang, mencapai antara 35% hingga 45% hingga 50% (berbanding julat semasa 35% hingga 40% hingga 45%), yang membawa kepada kos pengeluaran yang lebih rendah.
"Kadar penggunaan kilang dijangka terus meningkat kepada melebihi 65% untuk Hartalega Holdings Berhad selepas kilangnya di Bestari Jaya ditutup.
"Bagi Kossan Rubber Industries Berhad, mereka sedang berusaha untuk menutup beberapa kilang yang sepatutnya membawa kepada kadar penggunaan yang lebih baik pada 2024," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu percaya kepentingan dalam landskap kompetitif itu terletak di tangan pembuat sarung tangan China, yang mempunyai pengaruh yang ketara disebabkan oleh kos dan strategi penetapan harga yang lebih kompetitif.
Katanya, tidak semua pesanan pembelian semestinya akan pergi ke China kerana pembeli juga melaksanakan strategi pengurusan risiko; beberapa pesanan pembelian harus ditujukan ke pasaran lain, termasuk Malaysia.
"Kami menyemak naik saranan sektor itu kepada positif dan Hartalega menjadi pilihan utama kami dengan saranan 'beli'.
"Keuntungan penjimatan/kecekapan kos daripada penutupan kilang Bestari Jaya akan menjadikan penetapan harganya lebih kompetitif dan membantu mempertahankan margin operasinya sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga bahan mentah," katanya.