Sabah harap tiada lagi tuntutan tidak berasas oleh mana-mana pihak
18:01 Jan 10, 2024  |  By SabahKini2
Sabah harap tiada lagi tuntutan tidak berasas oleh mana-mana pihak

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tuntutan pihak terbabit jelas tidak berasas dan pendirian itu disuarakan sejak awal kes tuntutan berkenaan sampai ke pengetahuan kerajaan negeri.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap tiada lagi pihak berani mengemukakan sebarang tuntutan ke atas Sabah setelah kes tuntutan oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ditamatkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tuntutan pihak terbabit jelas tidak berasas dan pendirian itu disuarakan sejak awal kes tuntutan berkenaan sampai ke pengetahuan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pencapaian Kerajaan Persekutuan melalui usaha yang dilaksanakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung kes itu amat dihargai.

"Kita berterima kasih kepada Azalina dan Kerajaan Persekutuan kerana akhirnya terbukti tuntutan Sulu itu tidak berasas sama sekali ada, selain ada unsur mencari keuntungan dan kemudahan lain termasuk arbitrator (penimbang tara), Dr Gonzala Stampa.

"Sekarang di mahkamah Sepanyol, dia (Stampa) didapati bersalah dan dihukum penjara enam bulan. Ini menunjukkan bahawa tuntutan waris Sulu itu dari mula lagi kita nyatakan tidak berasas sama sekali. "Jadi, kita di Sabah gembira mendengar berita ini. Kita harap mudah-mudahan tiada lagi yang berani buat (tuntutan) seperti itu selepas ini," katanya mengulas berhubung kes tuntutan Sulu, hari ini.

Semalam, Azalina berkata, tumpuan kini adalah untuk menamatkan 'Final Award' AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang dikeluarkan Stampa ke atas Malaysia sekali gus menoktahkan tuntutan individu yang mendakwa waris Sultan Sulu.

Katanya, dengan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol ke atas Stampa, ia juga menjadi bukti usaha kerajaan dalam menangani dan menghentikan penipuan pihak mendakwa waris Sultan Sulu tidak sia-sia.

Kelmarin, Stampa yang terbabit dalam tuntutan kumpulan Sulu didapati bersalah menghina mahkamah dan dihukum penjara enam bulan selain dikenakan larangan untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.

Comment