Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor melawat bekas Pengarah Program RTM Sabah, Wilfred Mojilis di Kampung Kobusak semalam.
PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meluangkan masa untuk melawat bekas Pengarah Program RTM Sabah merangkap Timbalan Pengarah, Wilfred Mojilis di kediamannya di Kampung Kobusak semalam.
Mojilis, 85 bersama-sama dengan mendiang Datuk Fred Sinidol adalah pengasas yang menubuhkan Bahagian Kadazan RTM untuk mempromosikan dan melestarikan penggunaan bahasa Kadazan melalui siaran radio pada tahun 1960-an.
Wilfred juga seorang penyanyi dan penulis lagu berbakat telah mencipta hampir 100 buah lagu Kadazan.
Antaranya bertajuk Sugali Sunsugali, lagu Kadazan pertama yang disiarkan di RTM. Sebagai penghargaan, anak-anaknya yang juga berbakat telah mempopularkan lagu-lagu beliau yang lain seperti Nokoikot Noh Ih Monumbuhui dan Nuhu Nabahu.
Hajiji bekerja dibawah pimpinan Wilfred semasa beliau menjadi pengacara radio selama setahun pada tahun 1976.