Kuching: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal mendapatkan aset baharu iaitu empat helikopter dan satu kapal induk bertujuan memantapkan operasi pasukan itu khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi berkata, peruntukan berjumlah RM600 juta sudah diluluskan bagi mendapatkan perolehan empat helikopter itu.
Menurutnya, empat helikopter itu akan ditempatkan di pangkalan udara pertama Maritim Malaysia di wilayah ini iaitu di Pusat Operasi Udara Maritim Sandakan di Sabah.
"Kita jangkakan helikopter itu akan diperolehi dalam tempoh 24 hingga 36 bulan. Ia akan memantapkan lagi operasi udara di Sabah dan Sarawak kerana sekarang Maritim Malaysia hanya mempunyai satu pusat operasi udara iaitu di Subang, Selangor.
"Perolehan kapal induk Maritim Malaysia pula masih dalam perancangan," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi dan menaiki kapak OPV1 memasuki Kuching, di Laut China Selatan, tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin dan Timbalan Ketua Setiausaha KDN (Pengurusan) Dr Abdul Gapar Abu Bakar.
Terdahulu, Ruji dibawa menaiki helikopter AW139 Maritim Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan membuat pendaratan di atas kapal OPV1 yang dalam pelayaran sulung ke Sarawak dari Pelabuhan Pulau Indah, Klang.
Ruji berkata, OPV1 yang diterima Maritim Malaysia pada 8 Januari lalu akan melakukan penugasan menjaga perairan Sarawak khususnya di Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum yang berada di zon ekonomi eksklusif (ZEE) di perairan Miri.
"Kini OPV1 iaitu kapal Maritim Malaysia yang dibina sepenuhnya di negara ini dengan kepakaran tempatan sudah berada di perairan Sarawak dan sudah sedia untuk melaksanakan operasi meskipun ia belum diberi nama serta pentauliahan rasmi.
"Ini adalah OPV kelima Maritim Malaysia yang beroperasi setakat ini selain KM Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Bangi," katanya.