Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata, gesaan itu dibuat susulan melihat pelaksanaan penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 disifatkan akan membunuh gerakan belia Sabah.
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menggesa kerajaan negeri di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) untuk segera mewujudkan Enakmen Belia Sabah.
Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata, gesaan itu dibuat susulan melihat pelaksanaan penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 disifatkan akan membunuh gerakan belia di negeri ini.
Katanya, MBS melihat pelaksanaan itu akan merencatkan perkembangan pertubuhan belia di negeri ini.
Beliau berkata, MBS melalui persetujuan bersama Dewan Tertinggi MBS berpendirian penurunan had umur belia kepada 30 tahun belum sesuai dilaksanakan di Sabah berdasarkan beberapa faktor.
"Perkara ini perlu diselesaikan sebelum sampai ke tarikh penguatkuasaannya.
"MBS percaya sekiranya ia gagal dilaksanakan sebelum tarikh itu, belia di Sabah terpaksa patuh pada Akta Pertubuhan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) yang menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Tahunan 2023 MBS di sini Ahad lepas.
Abqaree berkata, isu yang tertakluk di bawah Enakmen Belia Sabah tidak hanya tertumpu kepada penurunan had umur belia.
Malah jelasnya, enakmen itu turut memperuntukkan satu kuasa penuh kepada kerajaan negeri menerusi KBSS untuk mengurus tadbir belia secara keseluruhannya di negeri ini.
Menurutnya, kewujudan Enakmen Belia Sabah akan dapat membantu memastikan gerakan belia di negeri ini lebih terancang.
"Enakmen Belia Sabah akan membantu memastikan gerakan kebeliaan di negeri ini akan lebih terancang selain kita mampu menyediakan kepimpinan belia baharu dengan acuan kita sendiri.
"Terdapat dua isu yang membabitkan belia dalam penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia (Pindaan) 2019 atau Akta 668, iaitu berkaitan pertubuhan belia dan belia secara individu.
"Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, belia secara individu terkandung dalam senarai bidang kuasa negeri," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, belia yang tidak berpersatuan, tidak tertakluk kepada Akta 668, sebaliknya berada di bawah senarai negeri.
Katanya, atas sebab itu, kerajaan negeri ada hak untuk menentukan hala tuju serta masa depan belia di peringkat negeri.
Selain itu jelasnya, ia juga bukan soal belum bersedia untuk menerima pakai peruntukan akta berkaitan golongan belia, namun ia perlu mengambil kira acuan di negeri Sabah yang berbeza dengan negeri lain.
Beliau berkata, Sarawak juga tidak mengguna pakai Akta 668 di negeri itu walaupun ia sudah dikuatkuasakan sejak sekian lama.
Pada 23 November tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan kerajaan Persekutuan menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602) pada 1 Januari 2026.
Katanya, pindaan itu antara lain melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia, iaitu 18 hingga 30 tahun dan menghadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.