KPDN bersama 16 agensi penguatkuasaan kerjasama banteras ketirisan barang kawalan
14:02 Feb 23, 2024  |  By SabahKini2
KPDN bersama 16 agensi penguatkuasaan kerjasama banteras ketirisan barang kawalan

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara fokus utama bengkel adalah melihat kepada aspek meningkatkan ketangkasan pemantauan dan penguatkuasaan ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi seperti bahan api atau minyak diesel.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan kerjasama dan penyelarasan dengan 16 agensi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengukuhan kerjasama itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Laut Malaysia; Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Sabah Port Authority, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perhutanan Sabah dan Energy Commission Sabah (ECoS).

Mengulas lanjut, Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang Kawalan Bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan adalah inisiatif bagi mengukuhkan kerjasama menerusi pelbagai aspek seperti keperluan logistik semasa tangkapan dan sitaan, bantuan keselamatan, perkongsian maklumat dalam serta serahan kes daripada pelbagai agensi kepada pihaknya.

"Pada masa yang sama, antara fokus utama bengkel adalah melihat kepada aspek meningkatkan ketangkasan pemantauan dan penguatkuasaan ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi seperti bahan api atau minyak diesel.

"Penambahbaikan mekanisme penguatkuasaan ini penting memandangkan Sabah dan Sarawak belum terbabit dalam perancangan penyasaran subsidi diesel di stesen minyak berbanding Semenanjung Malaysia yang dijangka akan bermula pada suku tahun kedua ini.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan isu ketirisan subsidi khususnya penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak dapat dikawal daripada terus berleluasa," katanya pada sidang media selepas sesi pelaksanaan bengkel terbabit di sini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Ops Tiris 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan bermula 1 Mac sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 15,927 pemeriksaan ijalankan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.

"Sejumlah 877 kes termasuk 386 kes serahan agensi menyita 6,441,118 liter minyak diesel bernilai RM14.2 juta, manakala nilai rampasan selain diesel berjumlah RM42.1 juta dan menahan 668 orang termasuk 554 warga tempatan, 112 warga asing.

"Dalam Ops Tiris 1.0 dan 2.0 bagi tempoh sama di Sabah, sebanyak 1,026 pemeriksaan dilakukan dengan 32 kes dihasilkan bersama nilai rampasan RM1.05 juta," katanya.

Armizan berkata, sepanjang penguatkuasaan Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari hingga 15 Februari lalu, sejumlah 3,257 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan 330 kes dan nilai rampasan sebanyak RM5.15 juta membabitkan rampasan minyak diesel sebanyak RM4.76 juta, petrol RON95 RM90,611, LPG RM154,189, minyak masak RM107,759 dan gula RM35,737," katanya.

Comment