33 pegawai terknikal lantikan COS terima watikah
22:03 Mar 05, 2024  |  By SabahKini2
33 pegawai terknikal lantikan COS terima watikah

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan watikah pelantikan COS kepada 10 orang Jurutera Awam J41, 6 orang Penolong Jurutera Elektrik JA29 dan 17 orang Penolong Juruukur Bahan JA29 pada majlis di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Seramai 33 orang pegawai teknikal dari kalangan anak muda tempatan Sabah menerima watikah pelantikan secara Contract of Service (COS) di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan watikah pelantikan COS kepada seramai 10 orang Jurutera Awam J41, 6 orang Penolong Jurutera Elektrik JA29 dan 17 orang Penolong Juruukur Bahan JA29 pada majlis ringkas di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu hari ini.

Mereka dilantik secara berfasa akan di tempatkan dan berkhidmat di pejabat-pejabat daerah di Sabah bagi pengukuhan unit teknikal dan memperkasa pejabat-pejabat daerah.

Seramai 53 orang pegawai teknikal menerima pelantikan COS pada Fasa Satu dan Kedua pelantikan itu tahun lalu, telah ditempatkan ke Pejabat Daerah seluruh Sabah yang diselaraskan bersama di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah).

Dengan penempatan pegawai teknikal melalui pelantikan secara COS, akan dapat memastikan projek-projek infrastruktur rakyat dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan berdasarkan spesifikasi kerja yang ditetapkan.

Kerajaan menyasarkan melantik seramai 114 pegawai teknikal dan setakat ini 86 jawatan telah diisi.

Seorang jurutera dan dua penolong jurutera secara COS akan ditempatkan di setiap Pejabat Daerah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek rakyat.

Program ini dilaksanakan di seluruh negara berpandukan persetujuan kerajaan negeri dengan peruntukan emolumen yang akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin.

Comment