Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, mendakwa mereka hanya pandai menyebar cerita yang bukan-bukan dan menabur fitnah tanpa menilai apa yang sudah dilakukan GRS-PH Plus sehingga kini.
Pemimpin Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditempelak kerana menjaja cerita politik bohong untuk merendahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH Plus yang mentadbir negeri ketika ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, mendakwa mereka hanya pandai menyebar cerita yang bukan-bukan dan menabur fitnah tanpa menilai apa yang sudah dilakukan GRS-PH Plus sehingga kini.
Katanya, tuduhan parti pembangkang yang mengatakan kerajaan GRS gagal adalah tidak berasas, sebaliknya kerajaan mereka selama dua tahun setengah sebelum ini yang gagal menampakkan perubahan ketara untuk rakyat.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) demikian ketika merasmikan Mini Karnival Gagasan Rakyat 2024 di Alamesra, di sini semalam.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, berbohong dan menjaja cerita yang bukan-bukan dan membuat fitnah adalah tabiat pemimpin pembangkang.
“Saya bercakap ini kerana saya nampak, kalau tidak gagal tentu mereka terus menjadi kerajaan tapi mereka tidak jadi kerajaan.
“Dulupun menjadi kerajaan bukan kerana mendapat mandat rakyat, mereka bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) pun tidak mendapat mandat rakyat,” katanya.
Menurutnya, mereka kata kalau pegang kerajaan mau buat itu ini, ubah perlembagaan. Ini tidak tahu cerita macam dia saja yang pandai, orang lain tidak pandai.
“Dia hanya pandai merendahkan orang lain dan bercakap di mana-mana, termasuk pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Hajiji mengakui, beliau tidak pandai bercakap seperti pemimpin mereka, selain tidak suka terlalu berpolitik, namun menegaskan beliau ikhlas dalam perjuangan untuk rakyat dan negeri Sabah.
“Saya nampak di media sosial menuduh kerajaan GRS gagal, tapi saya yakin rakyat kita tahu keadaan dan mereka pandai menilai,” katanya.
“Banyak perubahan yang kita laksanakan. Saya ingin menyatakan bahawa kita (GRS) berjaya sebagai sebuah kerajaan kerana banyak buat program untuk rakyat dan pembangunannya.
“Yang gagal adalah mereka, dia cakap kerajaan (GRS) gagal. Kita mahu tanya yang mereka buat dua tahun setengah memerintah Sabah sebelum ini,” katanya.
Ketua Menteri turut bertanya kepada pembangkang jumlah pelabur yang datang sepanjang dua tahun setengah memerintah.
Katanya, jika dibandingkan dengan GRS dalam tempoh dua tahun kemasukan pelaburan ke negeri ini sudah berjaya memenuhkan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP), manakala Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hampir penuh.
Hajiji berkata, pencapaian itu disebabkan keyakinan pelabur kepada kerajaan sekarang dan atas sebab itu juga, kerajaan negeri merancang untuk membuka taman perindustrian minyak dan gas yang baharu di Kimanis serta sebuah lagi taman perindustrian baru di antara Kota Belud dengan Kota Marudu atau Kudat.
“Semua ini untuk rakyat, kita bawa pelabur untuk wujudkan peluang kerja dan saya fokus untuk rakyat. Beribu kerja kita dapat wujudkan menerusi kemasukan pelabur ini.
“Ini yang kita buat, bukan jaja cerita politik. Sekarang lagi mahu dekat pilihan raya, semua hentam macam mereka adalah malaikat, saya dihentam siang malam,” katanya.
Beliau juga mengakui banyak masalah seperti isu air yang perlu diatasi namun menegaskan isu yang diwarisi daripada kerajaan lalu itu akan dapat diselesaikan menerusi kesungguhan kerajaan negeri pimpinannya.
Turut hadir ialah Naib-Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd.Arif dan Datuk Masiung Banah, Setiausaha Agung, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Pergerakan Pemuda Negeri, Datuk Fairuz Renddan, Ketua Wanita Negeri, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Beliawanis Negeri, Emmie M. Idang.