Isu bekalan air di UMS hampir pulih
15:03 Mar 19, 2024  |  By SabahKini2
Isu bekalan air di UMS hampir pulih

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata ketika ini Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah menyalurkan kira-kira empat MLD, manakala tambahan satu MLD lagi menerusi lapan telaga tiub yang sedang disiapkan.

KOTA KINABALU: Bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hampir pulih dengan kira-kira lima juta liter sehari (MLD) dijangka dapat disalurkan ke sistem pengagihan air di universiti itu dalam tempoh terdekat.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata ketika ini Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah menyalurkan kira-kira empat MLD, manakala tambahan satu MLD lagi menerusi lapan telaga tiub yang sedang disiapkan.

Katanya, jumlah itu boleh menampung keperluan kira-kira 22,000 warga UMS yang berada di kawasan kampus pada siang hari, termasuk penuntut yang tinggal di kolej kediaman.

"Alhamdulillah daripada analisis yang kita buat, sebanyak lapan telaga tiub yang sudah digerudi boleh menjana sekurang-kurangnya satu MLD.

"Jadi cukuplah untuk menampung kekurangan bekalan air dari JANS yang sekarang ini membekal empat MLD kepada UMS," katanya ditemui pada Majlis Sungkai Perdana UMS di Pusat Islam UMS, malam tadi. Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Sebelum ini, pihak JANS berdepan kesukaran menyalurkan air yang mencukupi di kampus UMS disebabkan kapasiti air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berada di bawah kadar permintaan.

Namun, difahamkan situasi itu bertambah baik dengan siapnya LRA Telibong 2 Fasa Dua pada akhir tahun lalu, disusuli penyiapan kerja penyambungan paip pada bulan lalu.

Mengenai perkembangan projek telaga tiub yang dibiayai dengan peruntukan RM3 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu, Kasim berkata semua enam telaga tiub sudah siap digerudi.

Katanya, ketika ini kontraktor sedang menyiapkan sistem takungan dan kerja perpaipan ke kolej kediaman penuntut dengan tiga daripadanya dijangka siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan pada 26 Mac ini.

Baki tiga lagi, katanya bersama dua telaga yang dibiayai menerusi peruntukan RM2 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi hanya dijangka siap pada April depan.

"Satu sudah siap, manakala ua daripada telaga tiub itu akan siap 26 Mac ini, jadi bakinya ada tiga lagi kita jangka siap sepenuhnya pada akhir April.

"Pada masa ini, semua penggerudian sudah dibuat, kandungan air juga sudah diuji dan keputusannya sudah diperoleh.

"Kontraktor sedang melaksanakan urusan membina takungan air dan kerja berkaitan, selain paip pengagihan ke kolej kediaman," katanya.

Dalam hal berkaitan, Kasim berkata, kemarau akibat cuaca panas dan kering yang berlaku ketika ini turut memberi kesan kepada dua sumber air graviti yang digunakan di universiti itu ketika ini.

Katanya, kedua-dua sumber air alternatif yang dibina bagi mengurangkan krisis air di universiti itu sebelum ini semakin susut dan dijangka kering jika kemarau berpanjangan.

Bagi telaga tiub, beliau berkata pihaknya belum dapat menentukan sama ada kemarau boleh menjejaskan pengeluaran air bawah tanah sehinggalah semua telaga tiub terbabit sudah berfungsi sepenuhnya.

Comment