Lebih RM5.4 juta rokok, minuman keras tanpa cukai dirampas JKDM Sabah
15:03 Mar 21, 2024  |  By SabahKini2
Lebih RM5.4 juta rokok, minuman keras tanpa cukai dirampas JKDM Sabah

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, tindakan menyembunyikan rokok dan minuman keras tidak berkastam bagi mengelak cukai juga berjaya dikesan, merekodkan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM5.4 juta.

KOTA KINABALU: Taktik agen serta pihak syarikat membuat pemalsuan maklumat pada dokumen dan menyeludup masuk minuman ke negeri ini berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melalui beberapa siri operasi di sini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, tindakan menyembunyikan rokok dan minuman keras tidak berkastam bagi mengelak cukai juga berjaya dikesan dalam operasi ini sekaligus merekodkan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM5.4 juta.

Katanya, sepanjang tempoh bermula 6 hingga 18 Mac lalu, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kota Kinabalu, Sabah merekodkan rampasan pelbagai jenis dan jenama minuman keras berjumlah 177,381.80 liter dengan anggaran nilai berjumlah RM961,658.11 manakala anggaran jumlah nilai duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM3,338,798.27.

“Turut dirampas pelbagai jenis dan jenama rokok berjumlah 930,000 batang dengan nilai berjumlah RM107,112.00 dan cukai dan duti terlibat adalah berjumiah RM1,011,877.44. 

“Kesemua rampasan berjumlah RM5,419,445.82 iaitu nilai rampasan RM1,068,770.11 serta cukai dan duti terlibat adalah RM4,350,675.71,” katanya semasa sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar di sini.

Bercakap lanjut mengenai operasi ini beliau berkata, kes pertama dikesan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas.

“Pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota Cawangan Import Ekspon Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan menahan dua buah kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar Kota Kinabalu pada 06 Mac kira-kira jam 11.50 pagi.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena terbabit menemukan 22,049.28 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM167.133.54 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM850,837.62,” katanya.

Tambahnya, pada 11 Mac pula, pasukan serbuan menyerbu stor tidak bernombor di Kampung Ramayah, Jalan Penampang-Papar Lama, Penampang pada jam 3.40 petang.

“Terdapat 42,568.48 liter minuman keras dan rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai berjumlah RM246,344.27 dan cukai serta duti terlibat adalah berjumlah RM724,198.60.

“Kita berjaya merampas 891,600 batang rokok dengan dianggarkan bernilai RM103,272 dan cukai serta duti yang terlibat adalah berjumlah RM975,013.44, turut disita sebuah lori dan van yang diparkir di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, tiga hari selepas itu, tiga lori yang diletakkan di tepi jalan sebuah taman perumahan di daerah Penampang yang memuatkan 1,626.76 liter minuman keras dengan kuantiti berjumlah yang bemilai RM16,980.30 dengan duti dan cukai terlibat berjumlah RM34,251.69. 

Katanya, turut dirampas pelbagai jenis rokok membabitkan 38,400 batang yang bernilai RM3,840 dengan nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM36,864.

“Pasukan serbuan sekali lagi merampas empat kontena hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas pada jam 10.15 pagi 15 Mac lalu yang mengandungi 89,088 liter minuman keras jenis bir bernilai RM445,440 dengan nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM1,381,220.36 yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.

“Pada jam 11 pagi 18 Mac, dua buah kontena yang memuatkan 22,049.28 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM85,760 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM348,290 turut dirampas hasil imbasan sama,” katanya.

Mohd Nasir berkata, modus operandi yang digunakan adalah membuat pemalsuan maklumat pada dokumen dan diikrar sebagai barang lain.

Selain itu katanya, penyeludup juga menggunakan taktik menyembunyikan barang tidak berkastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan niat mengelak cukai serta mendapatkan kelebihan di pasaran tempatan.

"Tiada tangkapan dibuat ketika serbuan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pemilik stor, pemilik kenderaan dan pengimport yang terbabit.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Comment