Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri dihadiri lebih 20,000 tetamu
16:04 Apr 15, 2024  |  By SabahKini2
Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri dihadiri lebih 20,000 tetamu

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Hajah Juliah Salag sejurus tiba di SICC pada jam 10.15 pagi, turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang asnaf.

KOTA KINABALU: Lebih 20,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Majlis tahunan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Hajah Norlidah R.M. Jasni. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Hajah Juliah Salag sejurus tiba di SICC pada jam 10.15 pagi, turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang asnaf. 

Beliau kemudiannya diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri, Datuk Shahelmey Yahya bersama barisan jemaah menteri negeri meluangkan masa bertemu serta beramah mesra dengan pelbagai lapisan rakyat yang hadir pada rumah terbuka itu. 

Tetamu yang hadir juga turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu Hari Raya daripada artis tempatan Sabah.

Shahelmey ketika ditemui berkata, kehadiran pengunjung terdiri dari pelbagai kaum dan agama di Sabah pada majlis itu dilihat dapat mengukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

"Alhamdulilah pada hari ini sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan negeri Sabah telah berjalan dengan baik yang mana kehadiran tetamu kehormat Tuan Yang Terutama negeri Sabah (Tun Juhar) bersama Toh Puan turut memeriahkan majlis disamping kehadiran barisan penuh ahli jemaah menteri Kabinet negeri sabah, wakil-wakil rakyat dan orang ramai bagi memeriahkan majlis pada tahun ini.

“Kehadiran dianggarkan lebih 20,000 orang dan apa yang penting adalah kita dapat melihat kehadiran rakyat dari pelbagai suku kaum di Sabah ini bersama-sama pelancong yang turut hadir pada majlis kali ini,” katanya.

1 Comment