Malaysia Airlines mengumumkan pembatalan 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur sementara lapan penerbangan lagi melibatkan laluan Sarawak dan Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan di antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia, pada Khamis.
Malaysia Airlines mengumumkan pembatalan 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur sementara lapan penerbangan lagi melibatkan laluan Sarawak dan Kuala Lumpur.
"Antara penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur adalah MH7420 (KUL-TWU), MH7421 (TWU-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2710 (KUL-SDK), MH2711 (SDK-KUL), MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH7404 (KUL-BKI), MH7405 (BKI-KUL) dan MH2613 (BKI-KUL).
"Manakala penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan adalah MH2520 (KUL-KCH); MH2513 (KCH-KUL); MH2542 (KUL-KCH); MH2543 (KCH-KUL); MH2574 (KUL-MYY); MH2575 (MYY-KUL); MH2742 (KUL-BTU) dan MH2473 (BTU-KUL).
"Memandangkan keadaan berubah-ubah, Malaysia Airlines akan terus memantau secara dekat sebarang perkembangan terkini. Maklumat lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dikemas kini dan dimaklumkan terus kepada penumpang yang terjejas," kata Malaysia Airlines dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam masa sama, Malaysia Airlines memberitahu sedang berusaha membantu penumpang yang terjejas akibat pembatalan kepada penerbangan alternatif sebaik sahaja keadaan bertambah baik.
"Penumpang diminta untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines untuk menerima kemas kini dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS.
"Keselamatan penumpang dan anak kapal menjadi keutamaan kepada Malaysia Airlines," kata kenyataan itu.
Sementara itu, AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.
Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak Rabu.
Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.