Sabah rekod penurunan 42% KIR miskin tegar
14:04 Apr 22, 2024  |  By SabahKini2
Sabah rekod penurunan 42% KIR miskin tegar

Kerajaan negeri menetapkan 'locked figure' yang direkodkan dalam sistem eKasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah melibatkan seramai 22,510 KIR dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR).

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan sebanyak 42 peratus iaitu seramai 12,555 Ketua Isi Rumah (KIR) yang masih berstatus miskin tegar daripada 22,510 KIR setakat 31 Mac 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah berkenaan adalah berdasarkan 'locked figure' yang ditetapkan dalam sistem eKasih.

Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan 'locked figure' yang direkodkan dalam sistem eKasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah melibatkan seramai 22,510 KIR dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR).

Bagaimanapun katanya, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain.

"Bagi penyelarasan program kemiskinan tegar di negeri ini, kerajaan negeri menubuhkan dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar bagi usaha menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah menjelang 2024 ataupun 2025.

"Secara prinsipnya, pengukuran kadar kemiskinan yang diguna pakai adalah berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk kemiskinan mutlak dan PGK Makanan untuk mengukur kemiskinan tegar. 

"Bermula tahun ini, pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan PGK 2022 yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742. Manakala, PGK Makanan meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218," jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alias Sani (WARISAN-Sekong) mengenai langkah kerajaan untuk membawa Sabah kelaur dari kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Hajiji berkata, sebagai tambahan kepada definisi kemiskinan sedia ada, kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) mengambil langkah proaktif dalam memperhalusi definisi kemiskinan tegar di negeri ini melalui 13 indikator tambahan kemiskinan tegar.

Menurutnya, ia termasuk pemilikan rumah, pekerjaan, pemilikan tanah, kemampuan membayar perkhidmatan asas, kecacatan fizikal ataupun mental, penyakit kritikal, kenderaan, haiwan ternakan, status pendaftaran kelahiran, serta tahap pendidikan

"Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah akan dilaksanakan secara berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

"Bagi program jangka masa pendek, ia merangkumi lima program iaitu program MySMJ Profiling, MySMJ Kerja PBT, MySMJ Kerja DO, MySMJ Kerja GLC dan MySMJ Kerja Industri. 

"Program jangka masa sederhana, sebanyak lima program akan dilaksanakan antaranya MySMJ: Tani, MySMJ: Mikro, Rumah Mesra SMJ, MySMJ: Tour dan MySMJ: Care," katanya.

Beliau berkata, bagi jangka masa panjang, terdapat dua program iaitu MySMJ: Modal Insan dan MySMJ: Teroka. Secara prinsipnya, bagi pemadanan atau intervensi bantuan yang bersesuaian kepada miskin tegar, program ini akan meliputi lima aspek utama iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

"Dalam usaha kerajaan negeri bergerak dalam program kemiskinan tegar ini, data-data yang tepat diperlukan dalam menyokong kepada bantuan intervensi yang bersesuaian untuk disalurkan kepada KIR dan AIR yang dikenal pasti.

"Sekretariat SMJ bersama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah memulakan kerja verifikasi lapangan data eKasih bagi mengenal pasti padanan bantuan yang bersesuaian kepada golongan miskin tegar di negeri ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Alias dalam soalan tambahannya turut bertanya mengenai percanggahan jumlah KIR yang berstatus miskin tegar di Sabah yang tidak sama seperti yang dinyatakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Parlimen.

Hajiji menjelaskan, berkemungkinan data yang disebutkan oleh Menteri Ekonomi adalah data terdahulu yang belum dikemas kini memandangkan data yang dinyatakannya adalah data terkini yang disahkan oleh pihak ICU negeri.

Comment