Bapa pecat Ketua Hakim Negara, anak mahu pecat pegawai kanan kerajaan
07:03 Mar 19, 2018  |  By SabahKini2
Bapa pecat Ketua Hakim Negara, anak mahu pecat pegawai kanan kerajaan

DAP terang-terang mahu pecat dan kurangkan penjawat awam. Kini Mukhriz pula mahu pecat pegawai kanan.

 

BAPA borek anak rintik. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Memang tepatlah kata pepatah Melayu dalam menggambarkan hubungan anak beranak antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Mukhriz.

Jika dulu kerajaan era bapanya mencetuskan kontroversi besar kerana memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, kini Datuk Seri Mukhriz mula mengeluarkan ugutan memecat pegawai kanan kerajaan.

Kalau Mukhriz lupa, pemecatan Salleh bersama beberapa hakim masih dianggap sebagai detik hitam dalam sejarah perundangan negara. Walaupun lebih tiga dekad berlalu, kisah tersebut masih belum dapat dipadam dan sentiasa diulang.

Mukhriz mungkin tidak sedar akan kesan daripada ugutannya, tetapi jika diimbau pemecatan Salleh, negara dikecam kerana wujudnya campur tangan eksekutif dalam kehakiman.

Sedangkan asas bagi negara demokrasi adalah prinsip pengasingan kuasa. Begitu juga jentera pentadbiran, mereka hanya bertindak mengikut perundangan dan sistem yang dibentuk, bukan kerana tuan politik.

Namun kasihan buat Mukhriz, bekas Menteri Besar Kedah itu masih terperangkap dengan gaya politik bapanya walaupun era kerajaan tahu segalanya sudah lama berakhir atau lebih tepat selepas Oktober 2003.

Dalam dunia semakin memantapkan prinsip demokrasi, Mukhriz masih menggunakan taktik politik ugutan ala 1980-an. Sekarang era milenium, bukan zaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lagi. Keluarlah dari kepompong bapa.

Elok sahaja Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu selesaikan tadbir urus partinya dulu. Kalau parti pun tak boleh urus ikut undang-undang, macam mana nak perintah negara.

Kerajaan telah membayar pampasan atau ex-gratia kepada Ketua Hakim dan hakim-hakim kesan dari tindakan Tun Dr Mahathir itu.

Sumber asal: UTUSAN ONLINE

 

 

Comment