Sabah akan lantik penaksir bebas jika tuntutan 40% hasil negeri gagal
16:04 Apr 25, 2024  |  By SabahKini2
Sabah akan lantik penaksir bebas jika tuntutan 40% hasil negeri gagal

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan tuntutan secara berfasa dan membuat andaian sendiri mengenai jumlah hasil yang patut dibayar oleh Kerajaan Pusat sekiranya rundingan ini gagal.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempertimbangkan untuk melantik penaksir bebas berhubung tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip di negeri ini, jika tiada sebarang persetujuan dicapai dalam rundingan perkara itu dengan Kerajaan Persekutuan pada Julai depan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan tuntutan secara berfasa dan membuat andaian sendiri mengenai jumlah hasil yang patut dibayar oleh Kerajaan Pusat sekiranya rundingan ketika ini gagal.

Setakat ini, beliau berkata, Kerajaan Sabah sudah lapan kali meminta data daripada Kerajaan Persekutuan bagi menentukan jumlah yang sepatutnya dituntut kerajaan negeri, namun tiada sebarang jawapan diberikan.

"Selepas Julai depan, seperti yang kita setuju berdasarkan tempoh diberikan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) sejak Julai tahun lalu dan kita ambil itu sebagai satu janji, jika tiada juga persetujuan, maka terserah kepada kita untuk melantik penaksir bebas.

"Kita juga sudah menyatakan bahawa selepas Julai nanti, kita akan membuat tuntutan secara berfasa tanpa data yang lengkap daripada Kerajaan Persekutuan.

"Kita akan membuat andaian sendiri berapa (jumlah)... pertama, berdasarkan data yang diumumkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan sendiri, dan kedua kita akan membuat kiraan sendiri berapa jumlah yang sepatutnya kita tuntut," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) mengenai langkah diambil Kerajaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuntutan itu merupakan antara perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan, dan dijangka diputuskan dalam tempoh setahun dari Julai tahun lalu.

Menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee, mengenai kesukaran isu berkenaan pula, Masidi berkata, perkara itu sebenarnya tidak sukar memandangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya setuju isu ini tidak terlalu sukar kerana apa yang perlu dibuat ialah mengumpulkan data saja. Oleh itu, kita berharap rakan Ahli Parlimen dari Sabah dapat menyuarakan perkara ini di Parlimen," katanya.

Seterusnya berhubung bayaran interim RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang dipersetujui kerajaan negeri, Masidi berkata, ia adalah bayaran sementara ketika rundingan mengenai tuntutan 40 peratus belum dimuktamadkan.

Beliau menjelaskan bahawa jumlah itu bukan yang terakhir, malah tuntutan 40 peratus itu turut termasuk bayaran yang tidak pernah dibayar Kerajaan Persekutuan kepada Sabah selama ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau sentiasa terbuka dan boleh dihubungi pada bila-bila masa jika ada wakil rakyat mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung tuntutan berkenaan, terutama untuk dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Comment