Hajiji terima kunjungan hormat Penggasas Puisi Esai
16:04 Apr 30, 2024  |  By SabahKini2
Hajiji terima kunjungan hormat Penggasas Puisi Esai

Denny berkata, kunjungan hormat itu bagi mengucapkan terima kasih kepada Hajiji dan kerajaan negeri kerana membantu melaksanakan program Festival Puisi Esei sejak beberapa tahun lalu.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Penggagas Puisi Esai dan Penasihat Komunitas Puisi Esai ASEAN Denny JA di Sri Gaya di sini semalam.

Denny adalah Pendiri Lembaga Survei Indonesia dan Konsultan Politik Indonesia yang terkenal menulis puisi esai melalui bukunya 'Atas Nama Cinta'.

Beliau kini sudah menerbitkan lebih dari 100 buku puisi di Indonesia dan Asia Tenggara berdasarkan genre baharu puisi esai.

Mengiringi Denny ialah Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Presiden Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Datuk Jasni Matlani dan Pengarah DBP Cawangan Sabah Aminah Awang Besar.

Denny berkata, kunjungan hormat itu bagi mengucapkan terima kasih kepada Hajiji dan kerajaan negeri kerana membantu melaksanakan program Festival Puisi Esei sejak beberapa tahun lalu.
 
Sementara itu, Jasni turut mengundang Hajiji untuk melancarkan perasmian Festival Puisi Esei di Kota Kinabalu pada 7 Jun 2024.

Selain itu, Hajiji turut menerima kunjungan daripada Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) diketuai oleh presidennya Prof. Dr. Arsiah Bahron.

Beliau diberi taklimat program dan aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan oleh persatuan itu.

Comment