PM arah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia memulakan tugas serta-merta
04:05 May 03, 2024  |  By SabahKini2
PM arah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia memulakan tugas serta-merta

"Oleh demikian semua jabatan dan kementerian harus menerima arahan ini, meletakkan pegawai di sempadan utama sekarang dan melaksanakan tugas dengan Ketua Pengarah (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali yang mempunyai tugas besar untuk jaga seluruh sempadan kit

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) melaksanakan tugasan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri berkata, walaupun rang undang-undang (RUU) berkaitan penubuhan agensi itu hanya akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini, semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia sudah boleh meletakkan pegawainya dan bertugas dengan segera.

"Undang-undang (penubuhan MCBA) hanya akan dibentangkan pada Julai, tetapi pada 1 Mei (semalam) adalah bermula punca kuasa pada perkara berkenaan, bermakna dari polis, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Imigresen sebagai punca kuasa.

"Oleh demikian semua jabatan dan kementerian harus menerima arahan ini, meletakkan pegawai di sempadan utama sekarang dan melaksanakan tugas dengan Ketua Pengarah (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali yang mempunyai tugas besar untuk jaga seluruh sempadan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Anwar berkata, semua jabatan berkaitan perlu menerima arahan itu secara serius dan melaksanakannya dengan segera.

Beliau berkata, MCBA adalah agensi yang boleh menyelaraskan dan memastikan pelaksanaan kawalan keselamatan dengan baik dan licin selain kelulusan kemasukan dapat disegerakan.

"Kawalan keselamatan dijaga dan segala kebocoran dan penyeludupan dihentikan. Ini tugas besar Hazani dan keluarga MCBA, saya percaya mereka dapat melaksanakan tugas sebaiknya," katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelaksanaan MCBA menjadi langkah pertama dalam memastikan kawalan keselamatan terjamin di sempadan.

"Saya yakin dalam masa terdekat, beberapa pengumuman 'game changer' akan dibuat terutama memudahkan pelancong supaya tidak lagi ada kesesakan (pelancong di pintu sempadan negara)," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menyaksikan penyerahan Dokumen Terma Rujukan MCBA sebagai penyelaras kepada jabatan dan agensi rakan strategik mengenai kawalan serta perlindungan sempadan negara.

Dokumen Terma Rujukan itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan KeterjaminanMakanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan sertaKementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Dokumen Terma Rujukan itu turut ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

Dokumen Terma Rujukan itu juga manifestasi kepada keputusan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada 17 April lalu yang bersetuju bahawa pengoperasian MCBA dilaksanakan secara pentadbiran dengan mengguna pakai akta sedia ada.

 

Comment