Tanah Merah Kelantan catat bacaan IPU tidak sihat
18:05 May 03, 2024  |  By SabahKini2
Tanah Merah Kelantan catat bacaan IPU tidak sihat

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

KUALA LUMPUR: Tanah Merah di Kelantan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 129, mengikut rekod Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 1.30 tengah hari tadi.

Selain itu, laman web itu juga memaklumkan stesen pemantau di 43 lokasi di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana.

Antara kawasan yang berada dalam bacaan IPU sederhana ialah Alor Setar di Kedah dengan bacaan 67; Kota Bharu, Kelantan (81); Tasek Ipoh (67) dan Seri Manjung (63) di Perak; Klang, Selangor (72); Bukit Ramai, Melaka (62); Pasir Gudang, Johor (59); Balok Baru Kuantan, Pahang (69); Bintulu di Sarawak (54) dan Tawau di Sabah (51).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Dalam pada itu, data sama turut menunjukkan, 24 kawasan di seluruh negara merekodkan tahap IPU yang baik dengan kebanyakan daerah terbabit terletak di Sabah dan Sarawak.

Kawasan itu ialah Kangar, Perlis (39); Langkawi, Kedah (38); Port Dickson, Negeri Sembilan (45); Segamat, Johor (48); Keningau (37), Sandakan (31) dan Kota Kinabalu (22) di Sabah; serta Miri (23), Mukah (25), Kapit (15) dan Sarikei (17) di Sarawak.

Comment