37 individu ditahan ESSCOM dalam operasi di Kalabakan
16:05 May 06, 2024  |  By SabahKini2
37 individu ditahan ESSCOM dalam operasi di Kalabakan

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi itu bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai selain mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

KALABAKAN: Seramai 37 individu ditahan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu di Pos Pemeriksaan Darat (RCP) Kalabakan di sini, hujung minggu lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata operasi selama dua hari bermula 3 Mei itu membabitkan 85 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

Katanya, operasi itu bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai selain mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Sepanjang operasi sebanyak 400 kenderaan dan 832 individu diperiksa. Daripada jumlah itu, 26 ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

"Selain itu, 10 individu turut ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya selain merampas dadah seberat 5.22 gram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Viktor berkata menerusi Operasi itu juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) menahan seorang individu dan merampas kira-kira 1,750 liter minyak diesel bersama sebuah kenderaan Toyota Hilux atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, sebanyak 17 saman dan lapan notis dikeluarkan oleh Jabatan Pangangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Antara lain objektif utama operasi ini adalah bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang khususnya di pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap di kawasan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

"Ia bagi memastikan keselamatan awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) kekal terjamin pada tahap yang optimum," katanya.

Comment