Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mengamalkan amalan terbaik bertaraf antarabangsa, selari dengan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berpendirian teguh untuk memerangi rasuah dengan pentadbiran yang telus sekali gus mewujudkan suasana persekitaran pelaburan serta perniagaan lebih kondusif.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mengamalkan amalan terbaik bertaraf antarabangsa, selari dengan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).
"Dengan mengekalkan prinsip ketelusan dan integriti, Sabah mampu mengukuhkan keyakinan pelabur dan mempromosikan pembangunan mampan jangka panjang," katanya dalam Environment, Social, Corporate Governance (ESG) Initiatives Awareness Forum, di sini hari ini.
Teks ucapannya disampaikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Memuji Invest Sabah Berhad (ISB), ESG Sabah Chapter dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana berjaya menganjurkan program itu. Hajiji berkata, Sabah kini berada dalam tempoh masa penting dalam pelaksanaan pembangunan, yang mana amalan guna pakai prinsip ESG adalah sangat mustahak.
"Adalah menjadi komitmen kerajaan negeri untuk menerima baik ESG bukan sahaja untuk memperkasakan tanggungjawab, tetapi juga menguatkan struktur pentadbiran, sekali gus menyediakan kemakmuran masa depan yang lebih berdaya saing," katanya.
Hajiji berkata, seluruh dunia kini telah mengiktiaf transformasi kuasa ESG dan mengguna pakai prinsip berkenaan dalam membentuk dasar dan amalan perniagaan.
Katanya, tidak dinafikan banyak organisasi perniagaan juga telah melaksanakan rangka kerja ESG yang komprehensif, mengutamakan kemampanan dalam operasi serta pelaburan mereka.
Menurutnya, negara seperti Norway dan Denmark juga telah membuktikan kepimpinan dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui, inisiatif kebajikan sosial yang dijadikan tunjang dalam pembangunan negara terbabit bagi mencapai pembangunan mampan.
"Saya gembira untuk memaklumkan bahawa selari dengan komitmen kita bagi memulihkan ekosistem, Sabah telah melaksanakan program pemuliharaan ekosistem hutan dengan lebih serius, dengan menanam lebih dua juta pokok.
"Usaha demikian bukan sahaja memperkasakan biodiversiti tetapi juga menyumbangkan kepada penyerapan karbon, mengurangkan impak perubahan iklim dan banyak lagi. Inisiatif yang dilaksanakan ini menjadi contoh terbaik pendekatan holistik guna pakai prinsip ESG," katanya.
Hajiji berkata, Perladangan Pokok Perindustrian (ITP) adalah kerjasama inovasi diantara pihak swasta dan awam oleh Jabatan Perhutanan Negeri yang mana usaha itu akan mengurangkan tekanan terhadap kayu hutan tropikal.
"Kerjasama diantara kerajaan negeri dengan industri kayu bukan sahaja membawa perubahan dalam ekonomi, tetapi juga penting untuk pemuliharaan dan kemampanan," katanya.