KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menerima lapan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bernilai RM56,000 dari Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).
Geran itu diserahkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Haji Mohamad kepada Pengerusi KGKS, Murkam Haji Hussien dalam satu majlis diadakan di sini, Isnin lepas.
KGKS adalah antara 16 kesatuan sekerja di Sabah yang telah menerima Geran PHEKS berkenaan pada tahun ini.
Murkam berkata, KGKS juga adalah penerima jumlah geran terbesar PHEKS dan ia akan diagihkan mengikut lapan cawangan yang berjaya mendapatkan geran itu.
“Cawangan-cawangan KGKS ialah Sandakan, Keningau, Ranau, Beaufort, Kuala Penyu dan Tuaran masing-masing menerima RM5,000, Tenom RM 17,000 dan Sipitang sebanyak RM9,000.
“Dengan adanya geran ini KGKS dapat melaksanakan semua program yang dirancang selaras dengan inspirasi Kerajaan Madani” katanya.
Beliau menzahirkan terima kasih kepada JHEKS kerana memberikan banyak bantuan dan ruang kepada KGKS untuk terus menjalankan aktiviti kesatuan.
Dalam pada itu, katanya, KGKS turut menerima Anugerah Kesatuan Sekerja bagi kategori Sektor Awam/Badan Berkanun sempena Sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024.
Katanya, anugerah itu telah disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, baru-baru ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutamanya ahli, Ahli Majlis Tertinggi, Exco, Presiden CUEPACS Datuk Dr. Haji Adnan Mat dan Pengerusi CUEPACS Sabah Ajulahin Japin,” katanya.