KPDN tumpaskan sindiket seleweng diesel di Penampang
15:05 May 10, 2024  |  By SabahKini2
KPDN tumpaskan sindiket seleweng diesel di Penampang

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, semua bahan bakar disembunyikan dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC). Tangki berkenaan disembunyikan di dalam sebuah van iaitu sebanyak 180 liter dan dua skid tank 800 liter dan 6,400 liter.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam serbuan di sebuah stor di kawasan Minintod, Jalan Panglima Banting, Penampang, semalam.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, pasukan serbuan berjaya menemui dan menyita 7,380 liter minyak diesel yang dipercayai cuba diseleweng.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, semua bahan bakar berkenaan disembunyikan dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC).

Katanya, tangki berkenaan pula disembunyikan di dalam sebuah van iaitu sebanyak 180 liter dan dua skid tank masing-masing 800 liter dan 6,400 liter.

"Turut dirampas hos getah dan mesin yang disyaki digunakan untuk menyeleweng bahan bakar berkenaan.

"Semua minyak diesel berkenaan dipercayai untuk dijual kepada industri dan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM57,067," katanya.

Georgie berkata, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor juga ditahan untuk diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.

"Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

"Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal," katanya.

Menurutnya, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.

"Sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 dan 019-848 8000," katanya.

1 Comment