Lelaki warga Korea didakwa guna dokumen palsu
16:05 May 10, 2024  |  By SabahKini2
Lelaki warga Korea didakwa guna dokumen palsu

Tertuduh, Lee Chang Whan, 33, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Stephanie Sherron Abbie.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Korea dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas dakwaan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk urusan kerja pada September tahun lalu.

Tertuduh, Lee Chang Whan, 33, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Stephanie Sherron Abbie.

Chang Whan dituduh menggunakan dokumen Perjanjian Subkontrak Pindaan palsu bagi kerja pemasangan cerucuk di antara dua syarikat iaitu Hyundai Engineering Sdn Bhd dan Budiwan Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah syarikat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Sepanggar, dekat sini, pada 22 September 2023.

Berikutan itu tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan untuk pengurusan kes, manakala tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin tempatan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan pasport tertuduh dikembalikan bagi membolehkannya memperbaharui permit kerja.

Bagaimanapun, tertuduh diperintah untuk menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah setelah pembaharuan permit kerjanya selesai.

1 Comment