Sabah dan KDN kerjasama dalam banteras dadah
17:05 May 12, 2024  |  By SabahKini2
Sabah dan KDN kerjasama dalam banteras dadah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia selaras dengan fokus KDN terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, termasuk membanteras aktiviti jenayah.

TAWAU: Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memperkukuhkan lagi usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia selaras dengan fokus KDN terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, termasuk membanteras aktiviti jenayah.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi sokongan penuh terhadap inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan masalah dadah di negeri ini.

“Kita mahu semua agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Belia Sabah (MBS), agensi di Persekutuan dan negeri, sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) bergerak bersama.

“Ia bagi memastikan program-program pendidikan pencegahan dadah dapat dilaksanakan khususnya di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program AADK Bersama Masyarakat sempena Peringatan Hari Antidadah Peringkat negeri Sabah 2024 di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sangat mengambil berat akan pelan pembangunan belia berisiko terutamanya dalam isu penagihan dadah.

“Saya mengambil maklum mengenai pemerkasaan program-program kesedaran awam mengenai salah guna dadah di kalangan belia.

“Saya juga percaya MBS dan badan-badan gabungannya mampu menjadi faktor pelindung kepada belia-belia berisiko,” katanya.

Menurutnya, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan komitmen seluruh masyarakat untuk bersama-sama kerajaan dalam menangani permasalahan dadah khususnya di Sabah.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri memandang serius usaha membangunkan modal insan di negeri ini, seiring dengan komitmen Pembangunan modal insan sebagai salah satu agenda Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Katanya, modal insan adalah aset penting dalam membina masa depan negara, namun masalah berkaitan penyalahgunaan dadah sering dikaitkan dengan pembabitan orang muda dan belia.

“Situasi seperti ini perlu ditangani kerana anak muda adalah modal insan yang penting untuk memimpin negeri ini pada masa hadapan.

“Justeru, adalah penting untuk memastikan anak-anak muda kita kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti,” katanya.

Jelasnya, bagi memastikan golongan belia terpelihara daripada ancaman dadah dan pelencongan sosial, beberapa usaha telah digariskan seperti Program Perintis Muda di bawah MBS.

Katanya, ia bertujuan pembangunan bakat dan potensi belia serta pembangunan keusahawanan dalam kalangan belia berisiko.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu golongan belia terpinggir dan berisiko kembali berfungsi dalam komuniti.

“Saya juga melihat inisiatif AADK dan MBS menjayakan Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga, amat baik,” katanya.

Terdahulu, majlis pecah tanah bagi tapak Projek Pembinaan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tawau yang terletak di Batu 36, telah disempurnakan pagi tadi.

Mengenai majlis itu Hajiji berkata, penubuhan PUSPEN di Tawau adalah usaha untuk menyediakan kemudahan dan akses program rawatan dan pemulihan berkaitan dengan dadah kepada mereka yang memerlukan.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam usaha ini. Cadangan pembinaan sebuah PUSPEN baharu di negeri ini telah bermula sejak 2019 lagi dan akhirnya ia menjadi kenyataan apabila berjaya diwartakan tahun lalu.

“Oleh kerana kemudahan ini hanya ada di Papar sahaja, justeru perjalanan antara pantai barat dan pantai timur negeri ini agak mengambil masa.

“Dengan adanya kemudahan ini, ia memudahkan mereka yang berada di sekitar pantai timur untuk mendapatkan akses rawatan dan pemulihan yang menyeluruh seperti ditawarkan di PUSPEN Papar,” katanya.

Comment