STB kerjasama Batik Air dan Fun Holiday anjur jelajah khusus Uzbekistan
17:05 May 13, 2024  |  By SabahKini2
STB kerjasama Batik Air dan Fun Holiday anjur jelajah khusus Uzbekistan

Jelajah yang diadakan di bandar bersejarah Samarkand dan Tashkent pada 23 dan 25 April lepas mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran kira-kira 250 peserta.

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan kerjasama Batik Air dan Fun Holiday menganjurkan jelajah khusus di Uzbekistan yang berjaya menarik minat pelancong negara itu untuk destinasi pelancongan baharu yang mesra Muslim.

Menurut kenyataan STB di sini semalam, jelajah yang diadakan di bandar bersejarah Samarkand dan Tashkent pada 23 dan 25 April lepas mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran kira-kira 250 peserta.

Kesemua peserta begitu bersemangat dengan tawaran destinasi pelancongan yang mempromosikan kawasan pulau, pantai dan sungai.

Menerusi jelajah itu juga, Uzbekistan yang terkenal dengan kekayaan warisan budaya dan keunikan sejarah kini meneroka destinasi percutian baharu melangkaui tradisi melawat negara kegemaran seperti Turkiye, Mesir dan Arab Saudi. 

Menyedari minat pelancong yang semakin meningkat itu, STB merebut peluang untuk mempamerkan keindahan dan layanan mesra Sabah kepada pengembara Uzbekistan.

Tawaran penerbangan terus laluan Tashkent ke Kuala Lumpur oleh dua syarikat penerbangan Batik Air dan Uzbekistan Airways menjadikan akses pelancong Uzbekistan ke Sabah tidak pernah semudah ini.

Selain itu, STB turut mengadakan perbincangan dengan Samarkand Airways, Pihak Berkuasa Pelancongan Tashkent dan Pihak Berkuasa Pelancongan Samarkand untuk meneroka laluan bagi usaha silang promosi yang bertujuan meningkatkan potensi Sabah sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelancong Uzbekistan.

Dalam pada itu, jelayah ini juga menandakan satu peristiwa penting dalam inisiatif pelancongan Sabah yang dimulakan oleh Pengerusi STB yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkui menerusi lawatannya bersama rombongan STB ke Uzbekistan pada Oktober tahun lepas.

Perbincangan dan interaksi yang membuahkan hasil semasa jelajah itu membuka jalan kepada kerjasama dan perkongsian yang menarik antara Sabah dan Uzbekistan.

Selain itu, Exclusive Travel iaitu pemborong pelancongan yang berpangkalan di Uzbekistan dengan kerjasama Fun Holiday dan Batik Air, sedang meneroka idea memperkenalkan penerbangan sewaan.

Usaha itu menawarkan pelancong Uzbekistan percutian baharu dengan meneroka keindahan alam semula jadi dan budaya di Sabah.

STB kekal komited untuk menjalin hubungan dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk pelancong di seluruh dunia dengan memastikan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.

Comment