Projek Taman perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 dapat tampung 1,000 jenazah
15:05 May 14, 2024  |  By SabahKini2
Projek Taman perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 dapat tampung 1,000 jenazah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masalah kekurangan kawasan tanah perkuburan di negeri ini adalah isu yang sering diperkatakan, termasuk masyarakat Sandakan.

SANDAKAN: Projek pembukaan Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 di Batu 11, dijangka dapat menampung kira-kira 1,000 jenazah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masalah kekurangan kawasan tanah perkuburan di negeri ini adalah isu yang sering diperkatakan, termasuk masyarakat Sandakan.

Katanya, hasil daripada lawatan kerja meninjau projek pembukaan tanah perkuburan Fasa II, saya dapat melihat kerja-kerja pelaksanaan sedang giat dijalankan dan ia dapat menampung kira-kira 1,000 jenazah.

Menurutnya, taman perkuburan ini mempunyai keluasan tanah seluas 65 ekar dan kira-kira 10 ekar telah dibuka untuk Fasa 1 dan 2, dengan jumlah keseluruhan yang dikebumikan mencecah kira-kira 2,800 jenazah.

“Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Batu 11 ini digunakan untuk masyarakat daerah Sandakan secara keseluruhannya.

“Pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berjaya menguruskan kawasan itu dengan baik dan ia adalah satu-satunya tanah perkuburan yang dibina secara sistematik, teratur serta tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Semarak Kasih Aidilfitri 2024 di sini pada Isnin. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya pasukan keselamatan kerana menjaga keselamatan rakyat daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat dan mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat Sabah adalah keutamaan kerajaan negeri pada hari ini.

Justeru katanya, rakyat negeri ini perlu terus mengekalkan keharmonian dan persefahaman kerana kekuatan kita adalah perpaduan, yang merupakan tunjang kepada kestabilan politik negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus melakukan yang terbaik untuk Sabah dan berusaha menyelesaikan isu-isu kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan yang diwarisi oleh kerajaan lalu.

“Kita sedang berusaha gigih untuk menangani semua isu-isu berkenaan demi rakyat dan negeri Sabah tercinta,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Kebajikan Islam Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini, Hajiji mengajak rakyat negeri ini terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian, serta menyuburkannya demi Sabah Tanah Airku.

Katanya, ia penting kerana keharmonian kaum adalah kunci kepada kesejahteraan dan kebahagiaan, sekali gus menjadi pemacu kepada kemajuan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri dibawah pimpinannya telah merintis Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sejurus mengambil alih teraju pemerintahan negeri bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Alhamdulilah, usaha-usaha yang kita laksanakan menerusi Hala Tuju SMJ ini sudah membuahkan hasil. Banyak inisiatif yang dilaksanakan telah memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, majlis rumah terbuka Aidilfitri menjadi penyatu kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini amnya dan di kawasan Sandakan secara khususnya.

“Kesatuan dan perpaduan ini melambangkan betapa kita di negeri Sabah menjadi contoh dan `role model' masyarakat Madani yang kekal hidup harmoni, walaupun berlainan fahaman, anutan dan budaya.

“Ia juga cerminan kebersamaan yang indah di negeri Sabah, di mana kita semua sentiasa bersama-sama meraikan apa juga perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina dan lain-lain perayaan,” katanya.

Comment