Maritim Malaysia tahan dua warga Filipina seludup minyak petrol
16:05 May 15, 2024  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia tahan dua warga Filipina seludup minyak petrol

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot yang dinaiki kedua-dua suspek berumur 19 dan 51 tahun itu ditahan di posisi kira-kira empat batu nautika timur laut, Pulau, Kankamat, jam 4 pagi.

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan dua individu warga Filipina menyeludup 12 tong berisi petrol dalam Op Tiris di perairan Kudat di sini.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot yang dinaiki kedua-dua suspek berumur 19 dan 51 tahun itu ditahan di posisi kira-kira empat batu nautika timur laut, Pulau, Kankamat, kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, hasil daripada maklumat risikan yang diterima mengenai kegiatan penyeludupan minyak petrol, bot ronda Zon Maritim Kudat yang sedang menjalankan rondaan Op Tiris mengesan bot suspek di kawasan berkenaan.

"Melalui pemeriksaan yang dilakukan, dua individu warga Filipina yang berada di dalam bot berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut juga turut menemukan 12 tong berwarna biru berisi minyak petrol dibawa bot berkenaan tanpa sebarang permit yang sah," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, semua minyak petrol itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

"Suspek bersama bot serta barang rampasan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM15,000," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat diminta untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut menerusi Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. 

Comment