Sabah terima peruntukan RM5 juta, pulih kebun koko
15:05 May 16, 2024  |  By SabahKini2
Sabah terima peruntukan RM5 juta, pulih kebun koko

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr. Ramle Kasin berkata, peruntukan itu adalah untuk pelaksanaan projek bagi tahun 2024 hingga 2026 dan memberi manfaat kepada 2,084 orang petani.

TAWAU: Sabah menerima peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menjalankan Projek Pemulihan Kebun Koko bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada di negeri ini.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr. Ramle Kasin berkata, peruntukan itu adalah untuk pelaksanaan projek bagi tahun 2024 hingga 2026 dan memberi manfaat kepada 2,084 orang petani.

Katanya, menerusi projek ini, kerajaan telah menyalurkan bantuan dari segi menyediakan baja, racun dan teknologi baharu kepada semua petani koko yang terlibat.

“Kita akan memberikan tunjuk ajar kepada petani tentang teknik baharu dalam tanaman dan penjagaan koko supaya kebun mereka dapat mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

“Selain itu, petani juga dapat memproses biji koko basah kepada biji koko kering yang mampu menghasilkan produk bernilai dan berkualiti lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pasca Tuai dan Peningkatan Hasil Koko (RPHK) Zon Pantai Timur Sabah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, dengan adanya bantuan itu diharapkan dapat meningkatkan produktiviti kebun petani koko di Sabah apabila mereka mengaplikasikan teknologi yang diberikan.

“Kita percaya dengan tunjuk ajar dan teknologi itu juga mampu membantu para petani koko meningkatkan pendapatan serta menyokong keperluan keluarga mereka,” katanya.

Sementara itu, LKM juga sedang melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk Program Tanaman Baharu Koko seluas 20 hektar dan Program Pemulihan Koko seluas 154 hektar di bawah selian LKM Tawau.

Katanya, projek ini adalah untuk memperluaskan dan meningkatkan pengeluaran koko di Pantai Timur Sabah yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengeluar biji koko terbesar di Malaysia.

“Saya berharap dengan tawaran harga biji koko kering yang agak tinggi melepasi RM40 sekilo ini dapat meningkatkan semangat petani untuk mengusahakan tanaman koko mereka.

“Disamping itu, saya mahu melihat kawasan Pekebun Kecil Koko (TOTe) Tawau dapat mengeluarkan biji-biji koko yang berkualiti seperti pengeluaran biji koko ‘single origin’ dan ‘special flavour’,” katanya.

Mengulas mengenai kursus ini pula, katanya, ia bertujuan memantapkan ilmu kepada para petani berkaitan penjagaan kebun koko dan kualiti biji koko.

“Seramai 123 orang petani dan kakitangan LKM yang terlibat secara langsung dalam penyampaian maklumat terkini mengenai penjagaan kebun koko menyertai kursus kali ini.

“Kursus ini turut menyentuh berkaitan teknologi-teknologi penjagaan kebun yang baik serta pengawalan penyakit dan perosak koko,” katanya.

Comment