27 Jun ditetapkan sebutan semula kes bunuh pelajar kolej
18:05 May 16, 2024  |  By SabahKini2
27 Jun ditetapkan sebutan semula kes bunuh pelajar kolej

Tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh mangsa di sebuah kolej di daerah ini, kira-kira jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.

LAHAD DATU:  Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh baharu bagi sebutan semula kes 13 remaja lelaki yang dituduh membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, pada Mac lalu.

Tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh mangsa di sebuah kolej di daerah ini, kira-kira jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.

Semua tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan pesalah di bawah umur.

Pemberita termasuk anggota keluarga mangsa turut diperintahkan supaya tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding itu berjalan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao manakala tujuh daripada 13 tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.

Manakala, seorang lagi pesalah diwakili peguam Abdul Gani Zelika dan lima tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Comment