Pengarah Maritim Malaysia Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, semasa menahan suspek di perairan barat laut Tanjung Pulun Batu, Pulau Balambangan.
KUDAT: Tiga individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan melakukan beberapa kesalahan termasuk cuba menyeludup haiwan ternakan tanpa permit sah dengan menggunakan bot dari negara jiran ke daerah ini.
Pengarah Maritim Malaysia Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, semasa menahan suspek di perairan barat laut Tanjung Pulun Batu, Pulau Balambangan, anggota Maritim Malaysia dari Bot Ronda Zon Maritim Kudat menemukan empat kambing dan lembu hidup yang dimuatkan dalam bot berkenaan.
Katanya, Pusat Operasi Zon Maritim Kudat menerima satu maklumat pengesanan curiga daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah berkenaan sebuah bot tidak dikenal pasti berada di posisi 12.3 batu nautika barat laut Tanjung Pulun Batu, Balambangan.
“Bot ronda yang ketika itu sedang melaksanakan rutin rondaan segera diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemantauan.
"Pada 1.50 pagi sebuah bot berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di posisi 2.8 batu nautika barat laut Tanjung Tiga Papan dan seterusnya ditahan untuk diperiksa.
"Melalui pemeriksaan yang dilakukan, tiga individu iaitu seorang warga tempatan manakala dua orang lagi warga Filipina berusia lingkungan 46 hingga 54 tahun didapati berada di dalam bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapatii seorang daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi memiliki dokumen
pengenalan diri yang meragukan.
"Pemeriksaan lanjut juga menemukan empat ekor kambing dan juga empat ekor lembu hidup di dalam bot berkenaan yang dibawa tanpa permit sah daripada pihak berkuasa dipercayai dibawa untuk tujuan pasaran.
"Suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM35,000," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan 2015 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak memiliki Lesen Bot.