PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan Madrid di Sepanyol mengekalkan keputusan mahkamah jenayah Madrid pada Disember 2023 yang mendapati penimbang tara Gonzalo Stampa bersalah menghina mahkamah susulan kes tuntutan Sulu ke atas Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam kenyataan berkata mahkamah menolak rayuan Stampa, mengesahkan hukuman penjara enam bulan dan larangan satu tahun daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara.
“Malaysia mengalu-alukan keputusan penting ini sebagai kemenangan penting bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian timbang tara antarabangsa sebagai bentuk alternatif penyelesaian pertikaian.
“Ia mengesahkan sekali lagi bahawa penipuan Sulu dimungkinkan oleh tingkah laku jenayah seorang penimbang tara. Oleh itu, Malaysia juga yakin bahawa kemenangan ini akan menjadi penghalang lagi kepada tindakan buruk yang dilakukan oleh pelaku penipuan Sulu,” katanya.
Stampa, yang secara kontroversi mengarahkan Malaysia membayar USD14.92 bilion (RM69.88 bilion) kepada pihak yang mengaku waris Sultan Sulu terakhir, didakwa pada Disember atas tuduhan menghina mahkamah dan tiada kelayakan amalan profesional kerana mengingkari keputusan mahkamah Madrid untuk membatalkan kes tuntutan Sulu.
Pertuduhan dibawa oleh pejabat pendakwa raya Sepanyol dengan kerajaan Malaysia sebagai pengadu.
Walaupun Stampa sebelum ini telah dilantik sebagai penimbang tara dalam kes itu, Mahkamah Tinggi Keadilan di Madrid membatalkan pelantikan kehakimannya pada Jun 2021.
Bagaimanapun, beliau terus mendengar kes itu di Paris dan pada Februari 2022 mengarahkan Putrajaya membayar kepada pihak yang mengaku waris Sultan Sulu terakhir itu melalui mahkamah timbang tara Perancis.
Stampa memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah sekarang.
Malaysia kemudiannya mencabar perintah timbang tara di Perancis dan Sepanyol. Mahkamah Perancis memberikan penangguhan terhadap penganugerahan itu, sementara menunggu keputusan tuntutan Malaysia bahawa perintah itu melanggar kedaulatannya ke atas Sabah.
Ini membawa kepada keputusan mahkamah jenayah Madrid pada Disember 2023 yang mendapatinya bersalah kerana menghina mahkamah.